HARLEY-Davidson CVO Road Glide ST (2024) 'Mendarat' Di Malaysia, Hanya 4 Unit Tersedia, RM 346.9k!

PELANCARAN

5/3/20242 min read

HARLEY-Davidson Malaysia membawa masuk model yang dilabel paling berprestasi dalam katalognya - Harley-Davidson CVO Road Glide ST (2024) bersama penawaran Harga menarik, RM 346,900 (asas).

Sebagai salah satu model paling eksklusif jenama itu dan hanya dihasilkan dalam unit terhad, hanya empat unit tersedia untuk pasaran Malaysia berikutan permintaannya yang tinggi di peringkat global.

Dan berdasarkan informasi terbaharu, keempat-empat unit berkenaan sudah pun habis disambar semasa pelancarannya.

Dengan penampilan unik 'Shark Nose', antara keistimewaan Harley-Davidson CVO Road Glide ST (2024) adalah di bahagian trenkuasanya.

Sebagai antara model paling berkuasa, Harley-Davidson CVO Street Glide ST (2024) dipadankan dengan enjin Milwaukee Eight 121 HO (High Output) V-Twin bersesaran 1,977 cc.

Dan menerusi talaan 'Hight Output' yang baharu, kuasa yang dihasilkan lebih tinggi daripada Road Glide Standard iaitu 127 Hp pada 4,900 rpm dan tork 193 Nm pada 4,000 rpm.

Selain itu, antara paling menonjol pastinya di bahagian panel meter menerusi padanan panel 12.3 Inci TFT berwarna skrin sentuh lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit menerusi aplikasi Skyline OS.

Sebagai model yang boleh 'dilenjan' di trek lumba, lima mod tunggangan tersedia untuk Harley-Davidson CVO Street Glide ST (2024) iaitu Road, Sport, Track, Track Plus, Rain selain 4 mod 'Custom'.

Sistem bantuan tunggangan elektronik yang tersedia adalah seperti Kawalan Traksi (TCS), Kawalan Pegun (VHC), 'Electronic Linked Braking' (ELB), TPMS dan Drag-Torque Slip Control System (DSCS).

Untuk meningkatkan lagi tahap eksklusif, ia turut dipadankan pelbagai komponen daripada titanium dan gentian karbon seperti ekzos, 'fender' depan, 'cowl' pelana belakang dan konsol tangki bahan api.

Dan kelebihan lain yang turut diperoleh menerusi penggunaan komponen premium ini adalah Harley-Davidson CVO Street Glide ST (2024) menjadi lebih ringan berbanding versi sebelumnya.

Di bahagian suspensi, ia dipadankan dengan fork jenis terbalik daripada Showa 47 mm dengan penyerap hentak berkembar lengkap dengan 'sub tank' boleh laras sepenuhnya.

Komponen premium lain termasuklah penggunaan brek daripada Brembo dengan corak cakera 'petal' lengkap dengan ABS dan 'Cornering' ABS serta sistem audio daripada Rockford Fostgate Stage 2.

Dua pilihan wara eksklusif ditawarkan iaitu Golden White Pearl atau Raven Metallic dengan kedua-duanya tampil dengan corak grafik 'Screamin Eagle' di bahagian 'fairing' dan tangka bahan api selain logo ulang tahun ke-25 CVO.