HARLEY-Davidson CVO Street/Road Glide (2023) Tiba Di Malaysia, Harga Mula RM 367.9k!

8/5/20231 min read

HARLEY-Davidson Malaysia, baru-baru ini mengemaskini penawarannya di pasaran tempatan menerusi pengenalan model aras tinggi atau premium terbaharunya dalam siri Harley-Davidson CVO (2023).

Sebagai permulaan, CVO bermaksud 'Custom Vehicle Operations' dan model yang dibawa masuk itu adalah Harley-Davidson CVO Street Glide dan CVO Road Glide (2023).

Dan seperti dijangka, harga yang ditawarkan memang cukup 'mengancam' seperti berikut:

  • Harley-Davidson CVO Street Glide (2023): RM 367,900

  • Harley-Davidson CVO Road Glide (2023): RM 376,900

Harga yang diumumkan seperti biasa adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan, insuran dan sebagainya.

Selain rekaan yang diperbaharui menerusi pengenalan panel yang lebih 'tajam' dan bersifat kotemporari, kedua-dua model mendapat panel badan baharu namun masih mengekalkan ciri 'Grand American Touring'.

Di bahagian trenkuasa, Harley-Davidson CVO Street Glide dan CVO Road Glide (2023) berkongsi enjin yang sama (Milwaukee-Eight VVT 121) dengan VVT bermaksud 'Variable valve-timing' yang dikatakan lebih tahan.

Enjin bersesaran 1,977 cc V-Twin, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair itu menghasilkan 115 Hp pada 4,500 rpm dan tork 188.4 Nm pada 3,000 rpm, lebih berkuasa berbanding generasi terdahulu.

Sebagai model aras tinggi, kedua-dua Harley-Davidson CVO Street Glide dan CVO Road Glide (2023) datang dengan ciri canggih dan moden. 3 mod tunggangan tersedia (Road, Sport, Rain) dengan pemetaan tersendiri yang memberi keyakinan kepada penunggangnya.

Sistem infotainmen juga serba baharu yang membabitkan panel meter 12.3 inci TFT berwarna yang lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit menerusi aplikasi Skyline OS. Sebagai tambahan, turut tersedia sambungan internet yang sesuai dengan peranti daripada Apple dan Android.

Kepada yang berminat, tempahan untuk kedua-dua model premium ini sudah pun dibuka di semua cawangan Harley-Davidson seluruh Malaysia.