Harley-Davidson Hydra-Glide Revival (2024) Lancar Di Malaysia, RM 176.9k, Terhad 5 Unit!
PELANCARAN
6/13/20241 min read


HARLEY-Davidson Malaysia membawa satu lagi model edisi terhad ke pasaran tempatan dengan melancarkan antara model legendanya Harley-Davidson Hydra-Glide Revival (2024).
Diposisi dalam segmen Icons Motorcycle Edition, Harley-Davidson Hydra-Glide Revival dihasilkan dalam unit terhad 1,750 seluruh dunia.
Dan untuk pasaran Malaysia, hanya lima unit berjaya diperoleh Harley-Davidson Malaysia dengan satu daripadanya sudah pun disambar sebelum pelancaran.
Sebelum terlupa, harga jualan yang diumumkan adalah RM 176,900 (asas).
Sebagai permulaan, seperti model edisi terhad lain, Harley-Davidson Hydra-Glide Revival (2024) yang mengambil inspirasi skema warna model berkenaan keluaran tahun 1956 iaitu gabungan Merah dan Putih.
Turut 'mencantikkan' Harley-Davidson Hydra-Glide Revival (2024) adalah logo 'Icons Motorcycle Collection' yang diletakkan di bahagian fender belakang dan tangki minyak serta beberapa logo Harley-Davidson dengan kemasan krom.
Dan setiap unit datang dengan nombor siri yang diposisikan di bahagian 'Triple clamp'.
Selain itu, Harley-Davidson Hydra-Glide Revival (2024) turut dipadankan dengan pelana tunggal kulit yang memiliki corak jahitan unik. Apa yang menarik, 'beg pannier' kalis air yang memiliki kemasan sama seperti pelana turut datang secara standard.
Mengulas ringkas trenkuasa, Harley-Davidson Hydra-Glide Revival (2024) dipadankan dengan enjin Milwaukee-Eight 114 bersesaran 1,870 cc, V-Twin, Penyejuk Udara/Minyak bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 86 Hp pada 4,750 rpm dengan tork 161 Nm pada 3,000 rpm.
Naib Presiden Harley-Davidson Asia Pasifik, Dimitris Raptis berkata, pihaknya komited untuk menawarkan pilihan mengujakan dalam katalognya untuk peminatnya di Malaysia.
Sebagai info, Harley-Davidson Malaysia turut dijadual menjalankan acara Harley-Davidson Tourer Demo Days yang dijadual pada 14 hingga 16 Jun ini.




















