HARLEY-Davidson Malaysia Lancar Road Glide, Street Glide (2024), Harga Mula RM 190.9k!

PELANCARAN

5/3/20241 min read

SELAIN Harley-Davidson CVO Road Glide ST (2024), Harley-Davidson Malaysia turut melancarkan dua penawaran terbaharunya, semalam dalam 'keluarga' Grand Touring - Harley-Davidson Road Glide dan Street Glide (2024).

Tiba dengan rekaan hampir sama dengan Harley-Davidson CVO Road Glide ST (2024), Harley-Davidson Road Glide (2024) diperkenalkan pada harga RM 206,900 (asas).

Manakala untuk Harley-Davidson Street Glide (2024), harga jualan yang diumumkan sedikit rendah iaitu RM 190,900.

Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Sebagai permulaan, kedua-dua model dipadankan dengan enjin yang sama Milwaukee Eight 117 bersesaran 1,923 cc V-Twin yang menghasilkan kuasa 107 Hp dan tork 175 Nm.

Tetapi apa yang membezakan kedua-duanya adalah dari sudut rekaan dengan Harley-Davidson Road Glide (2024) dipadankan dengan 'fairing Shark Nose' manakala Harley-Davidson Street Glide (2024) dipadankan dengan 'fairing Batwing' yang lebih konvensional.

Selain itu, antara pembaharuan lain bagi model 2023 dan 2024 adalah pengurangan berat dengan Harley-Davidson Road Glide (2024) 7.3 kg lebih ringan berbanding versi terdahulu dan Harley-Davidson Street Glide (2024) mengalami pengurangan berat 8.2 kg.

Dari sudut aerodinamik, ia dibangunkan dengan teknologi CFD (computational fluid dynamics) dan analisis terowong angin yang canggih yang dikatakan dapat memberikan rintangan angin dan mengurangkan keletihan kepada penunggang.

Berada dalam barisan model 'Grand Touring', apa yang menarik lagi adalah penggunaan panel meter TFT 12.3 Inci yang lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit.

Dari sudut teknologi, kedua-dua model menawarkan pakej bantuan tunggangan elektronik seperti Kawalan Traksi (TCS), Cornering ABS selain 4 mod tunggangan - Road, Sport, Rain dan Custom.

Selain Harley-Davidson Road Glide (2024) dan Harley-Davidson Street Glide (2024), Harley-Davidson Malaysia turut mengumumkan barisan harga untuk model 2024 yang bermula RM 83,700 (asas) untuk model Nightster.