HARLEY-Davidson Malaysia Umum Koleksi 'Cruiser' 2025, Bermula RM 119,900!

Enam model terbaharu dalam segmen ‘Cruiser’ dilancarkan Harley-Davidson Malaysia bagi pasaran tempatan sempena acara Art of Speed (AoS) 2025

PELANCARAN

7/26/20251 min read

Harley Davidson
Harley Davidson

HARLEY-Davidson Malaysia mencuri tumpuan di acara Art of Speed (AoS) 2025 apabila melancarkan enam model terbaharu dalam segmen ‘Cruiser’ yang sekali gus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi tempatan.

Kesemua model baharu ini - Street Bob, Heritage Classic, Breakout, Fat Boy, Low Rider S dan Low Rider ST - hadir dengan menggunakan casis Softail ikonik Harley-Davidson dan dikuasakan oleh enjin Milwaukee-Eight 117 V-Twin bersesaran 1,917 cc yang menjadi nadi utama kepada kesemua model.

Harga asas keenam-enam model adalah seperti berikut:

  • Street Bob - RM 119,900

  • Heritage Classic - RM 143,900

  • Breakout - RM 146,900

  • Fat Boy - RM 149,900

  • Low Rider S - RM 134,900

  • Low Rider ST - RM 150,900

Menariknya, Harley-Davidson membezakan setiap model berdasarkan konfigurasi kuasa enjin yang disesuaikan dengan karakter tunggangan.

Tiga jenis talaan enjin ditawarkan - Classic, Custom dan High Output - yang masing-masing memberi penekanan berbeza kepada penyampaian kuasa dan tork.

Untuk Street Bob dan Heritage Classic, enjin dua model berkenaan diberikan talaan Classic Powertrain dengan kuasa 91 Hp dan tork 156 Nm, sesuai untuk tunggangan santai dan jelajah jarak jauh.

Bagi model Breakout dan Fat Boy pula, ia menerima Custom Powertrain yang lebih bertenaga dengan kuasa 103 Hp dan tork 168 Nm dan ideal untuk peminat gaya dan prestasi seimbang.

Bagi mereka yang mendambakan aksi lebih agresif di jalan terbuka, model Low Rider S dan ST dibekalkan dengan High Output Powertrain yang menyaksikan kuasa mencecah 114 Hp dan tork 173 Nm sekali gus menjanjikan hentakan tork pertengahan yang lebih padu.

Kesemua model turut dilengkapi teknologi moden seperti tiga mod tunggangan - Road, Rain dan Sport - yang dipadankan bersama sistem kawalan cengkaman (traction control) dan sistem brek anti-kunci dua saluran (ABS) sebagai ciri standard.

Naik taraf lain termasuk sistem pencahayaan LED sepenuhnya, port pengecasan USB-C, kawalan pelayaran (cruise control) serta tuas brek boleh laras bagi menyesuaikan ergonomik penunggang.

Turut diperbaharui adalah sistem intake dan ekzos, dengan setiap model menerima rekaan penapis udara dan laluan masuk udara spesifik.

Kecuali untuk model Fat Boy dan Breakout yang kekal dengan sistem ekzos 2-2, model lain menerima sistem 2-1 yang lebih ringan hasil penggunaan bahan binaan baharu.