HARLEY-Davidson PJ 'Fuel Concept' Terbaharu Bakal Dibuka, Perasmian Jangka Hujung 2023!

TERKINI

11/6/20231 min read

HARLEY-Davidson Malaysia dijadualkan membuka pusat pameran lengkap 'Fuel Concept' terbaharu Harley-Davidson Petaling Jaya (PJ) di lokasi menarik Star Tower @ Pacific Star, hujung tahun ini.

Dengan status 'Fuel Concept', pusat pengalaman terbaharu buat peminat dan pemilik Harley-Davidson di Malaysia itu akan meliputi keluasan 8,000 kaki persegi yang menempatkan pusat pameran dan jualan jenama berkenaan.

Ia akan menggantikan pusat pameran sedia ada Harley-Davidson PJ yang terletak di Gasket Alley, PJ yang mempunyai keluasan 2,500 kaki persegi.

Begitupun, pusat servis Harley-Davidson Malaysia kekal di lokasi asal di Gasket Alley yang terletak kira-kira 200 meter dari pusat pameran Harley-Davidson PJ Fuel Concept.

Dan menariknya, pusat servis Harley-Davidson PJ itu juga sedang menjalani proses renovasi dan berada di bangunan berkeluasan 10,000 kaki persegi.

Selain bertindak sebagai pusat pameran dan jualan yang mempamerkan pelbagai penawaran terbaharu Harley-Davidson di Malaysia, Harley-Davidson PJ Fuel Concept terbaharu turut menjadi pusat salah satu kelab pemilik Harley-Davidson Harley Owners Group (HOG) terbesar Malaysia.

Seperti 'Fuel Concept' yang lain, ia turut menjadi tempat berkumpulnya ahli-ahli HOG untuk berinteraksi.

Turut berlangsung serentak dengan majlis mula kerja renovasi Harley-Davidson PJ Fuel Concept itu, baru-baru ini adalah majlis penyerahan model terbaharu Harley-Davidson di Malaysia, Harley-Davidson Road Glide CVO 121.

Dan pemilik pertama Harley-Davidson Road Glide CVO 121 itu adalah Dato Sri Raja Gopal. Sempena penyerahan motosikal itu turut berlangsung majlis sambutan Deepavali Harley-Davidson Malaysia anjuran bersama kelab motosikal Shadowfax, Jivathma, Musclerider dan Maverick.

Sebagai info, Harley-Davidson Petaling Jaya memulakan operasinya pada tahun 2017 di bawah kendalian Didi Group. Ketika ini, Harley-Davidson Malaysia memiliki lima rangkaian pengedar rasmi di Malaysia dengan yang terbaharu adalah di Johor Bahru di Stulang.