HARLEY-Davidson Umum Didi Resources Kekal Pengedar Rasmi Di Malaysia

TERKINI

1/31/20241 min read

DIDI Resources meneruskan kerjasama dengan syarikat pengeluar motosikal Amerika Syarikat, Harley-Davidson untuk kekal sebagai Pengedar Rasmi dan Eksklusif jenama itu di Malaysia.

Seperti sebelumnya, kerjasama itu bukan saja membabitkan import, pengedaran dan penjualan, namun termasuk servis selepas jualan.

Selain itu, Didi Resources juga kekal sebagai pengedar bukan eksklusif untuk komponen, aksesori, pakaian dan prodok berlesen membabitkan jenama Harley-Davidson di Malaysia.

Perjanjian membabitkan kerjasama terbaharu itu bermula pada 1 Januari 2024 lalu dan terpakai di semua pusat pameran, jualan dan servis Harley-Davidson di seluruh Malaysia.

Dalam kenyataan, Didi Resources berkata mereka komited untuk memberikan pengalaman yang diharapkan oleh pelanggan Harley-Davidson dan program berkaitan seperti H.O.G (Harley Owners Group) di negara ini.

"Kami teruja dengan kerjasama dengan jenama Harley-Davidson dan membawa bersama semangat pengembaraan ini kepada komuniti jenama ini di Malaysia," kata Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo.

"Kami berbangga dengan peranan yang penting ini dan bersedia mengukuhkan kehadiran kami di pasaran tempatan selain menguatkan lagi pembangunan dan program yang sejajar dengan Harley-Davidson dan membawa nilai lebih besar kepada pelanggan."

Sementara itu, Pengarah Urusan Harley-Davidson Asia dan India, Sajeev Rajasekharan berkata Harley-Davidson komited untuk memberikan pengalaman eksklusif jenama itu kepada peminatnya di negara ini.

"Sejak 2008, Harley-Davidson mengukuhkan jenama itu dan berkembang dengan komuniti penunggang motosikal di Malaysia.

"Dengan pengetahuan dan pengalaman mendalam Didi Resources dalam pasaran automotif Malaysia, kami akan bekerja rapat dengan mereka untuk memberikan pengalaman jenama Harley-Davidson kepada semua pelanggang kami," katanya.

Ketika ini, Harley-Davidson Malaysia memiliki lima rangkaian pengedar di seluruh Malaysia di bawah Didi Resources iaitu Harley-Davidson Petaling Jaya, Harley-Davidson Kuala Lumpur, Harley-Davidson Pulau Pinang, Harley-Davidson Kota Kinabalu dan Harley-Davidson Johor Bahru.