HARLEY-Davidson X350, X500 (2024) Sedia Terjah Pasaran Australia, Malaysia Bagaimana?

TERKINI

9/4/20231 min read

SELEPAS membuat kemunculan di China awal tahun ini, Harley-Davidson X350 dan X500 (2024) dilaporkan bakal membuat penampilan rasmi ke pasaran Australia.

Menurut laporan, motosikal yang dibina hasil kerjasama Harley-Davidson dan QJ Motor itu sudah bersedia untuk 'dihantar' ke pasaran luar China, terutama negara yang popular dengan model sesaran rendah atau pertengahan seperti Australia.

Dan ia bukan sekadar laporan media, malah perkembangan itu turut dipaparkan di laman web Harley-Davidson Australia beserta harga model berkenaan.

Menurut Harley-Davidson Australia, Harley-Davidson X350 dan X500 akan mula dijual pada Disember tahun ini.

Setakat ini, setiap model ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Dramatic Black, Dynamic Orange, Supersonic Silver dan Pearl White.

Harley-Davidson X350 dijual pada harga bermula AUD$ 8,495 (RM 25,566) dan Harley-Davidson X500 disenaraikan pada angka AUD$ 11,495 (RM 34,595).

Mengulas ringkas spesifikasi Harley-Davidson X350, ia dijana enjin 353 cc, Parallel-Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual. Kuasa dihamburkan adalah sekitar 36 Hp pada 9,500 rpm dan tork 31 Nm pada 7,000 rpm.

Untuk Harley-Davidson X500, ia dijana enjin bersesaran 400 cc, Parallel-Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual. Kuasa dihasilkan adalah 47 Hp pada 8,500 rpm dan tork 46 Nm pada 6,000 rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang dipadankan kepada kedua-dua model adalah penggunaan suspensi fork jenis terbalik (USD) boleh laras, rim bersaiz 17 inci, set lampu LED dan brek cakera berkembar (depan) dan cakera tunggal (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Dan untuk persoalan mengenai sama ada model hasil kerjasama Harley-Davidson dengan syarikat lain seperti X350 dan X500 akan memasuki pasaran Malaysia, seperti laporan kami sebelum ini, ia dijangka tidak akan berlaku dalam tempoh singkat.

Ini adalah kerana pendekatan yang diambil oleh Harley-Davidson Malaysia - menurut sumber yang diperoleh - yang mahu mengekalkan tahap eksklusiviti jenama itu di pasaran tempatan. Tetapi, pandangan itu pasti boleh berubah.