HARLEY-Davidson X440 'Laku Keras' Di India, Tapi Tiada Perancangan 'Masuk' Malaysia?

TULAR

8/4/20231 min read

SUSULAN sambutan hangat yang diterima oleh Harley-Davidson X440 di India, Harley-Davidson India dikatakan terpaksa menutup sementara tempahan model 'roadster' terkecil jenama Amerika Syarikat itu.

Menurut laporan media di India, tindakan itu diambil selepas motosikal yang dihasilkan daripada kerjasama Harley-Davidson dengan pengeluar India, Hero MotoCorp itu adalah disebabkan ia mendapat pratempahan luar biasa.

Menurut Harley-Davidson India, tempahan untuk harga pengenalan ditutup semalam (3 Ogos 2023).

Ia memang cukup menarik kerana Harley-Davidson X440 hanya dijual pada harga pengenalan bermula 229,000 rupee (RM 12,560).

Memetik laporan Financial Express Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hero, Niranjan Gupta berkata jumlah tempahan sudah melepasi jangkaan syarikat itu dan tiba pada tahap untuk menutup saluran tempahan atas talian buat sementara waktu.

Begitupun, tiada angka tempahan dikongsikan oleh syarikat berkenaan.

Di pasaran Malaysia, pihak Harley-Davidson Malaysia ketika ditemui MotoDotMY mengesahkan Harley-Davidson X440 tidak berada dalam perancangan syarikat itu ketika ini, atau sekurang-kurangnya dalam masa terdekat.

Menurut salah seorang 'bos besar' kumpulan itu, ia adalah disebabkan jangkaan penerimaan model berkenaan yang dilihat tidak begitu tinggi selain menjaga tahap eksklusif Harley-Davidson di pasaran tempatan.

Tetapi katanya juga, segala-galanya bukan mustahil tetapi boleh dikatakan, motosikal itu tidak akan tiba dalam tempoh terdekat, pendekatan berbeza berbanding Triumph.