HARUKI Noguchi Sudah Tiada, ARRC Berkabung

TULAR

8/17/20231 min read

SELEPAS tiga hari menjalani rawatan intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat, Indonesia, pelumba Jepun, Haruki Noguchi, meninggal dunia susulan kecederaan serius yang dihadapinya.

Perkhabaran duka dari Indonesia itu diperoleh menerusi kenyataan rasmi daripada pihak FIM Asia, hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan parah selepas terbabit dengan kemalangan ketika beraksi di Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika, Ahad lalu.

Akibat kemalangan dalam perlumbaan dalam kelas perdana Asia Superbike 1000 cc itu, Hoguchi disahkan mengalami kecederaan parah.

Beliau segera menerima rawatan perubatan di Pusat Perubatan litar sebelum dipindahkan ke hospital tempatan namun disebalik usaha keras kakitangan perubatan, Haruki meninggal dunia akibat kecederaannya pada 16 Ogos 2023 (Rabu) pada jam 5.40 petang.

Beraksi bersama pasukan SDG Motor Sports HARC-PRO Ph. menggunakan jentera Honda CBR1000RR, Noguchi menjadi antara pencabar utama kejuaraan ASB1000 musim ini dan menghuni tangga kedua keseluruhan.

Tahun lalu, Noguchi 'hampir' menggengam kejuaraan keseluruhan namun kecederaan yang dihadapinya memaksanya tidak beraksi pada pusingan terakhir.

Antara alumi Red Bull Rookies Cup dan Asia Talent Cup, Noguchi pada awal bulan ini turut menaiki podium (Ketiga) perlumbaan elit Suzuka 8 Hours bersama pasukan SDG Racing menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R.