HELMET Edisi Ulang Tahun Ke-40 ARC X PETRONAS Sprinta Dihasilkan, Terhad 4,999 UNIT, RM 298!

Sempena ulang tahun ke-40 Petronas Sprinta, syarikat itu memperkenalkan kolaborasi eksklusif bersama jenama helmet terkemuka ARC menerusi penghasilan helmet edisi khas ARC X Petronas Sprinta 40th Anniversary

PELANCARAN

9/29/20251 min read

PETRONAS Sprinta sempena sambutan ulang tahun ke-40 syarikat itu tampil dengan satu kolaborasi menarik iaitu helmet edisi khas ARC X Petronas Sprinta 40th Anniversary.

Seperti namanya, ia adalah hasil kerjasama dengan jenama pengeluar helmet terkemuka tempatan ARC dan mendapat 'hasil tangan' FTProject menerusi F-Design.

Apa yang menarik, helmet yang menggunakan model popular ARC Ritz ini dikeluarkan dalam unit terhad, 4,999 unit sekali gus menjadikannya barangan 'panas' untuk para pengumpul khususnya buat peminat ARC, PETRONAS mahupun pengumpul barangan permotoran.

Sebagai model edisi khas, setiap helmet tampil dengan grafik dan warna ikonik Petronas Sprinta yang menarik.

Majlis pelancarannya dibuat sempena Festival Y15, Y16 & LC135 6.0 yang berlangsung di Pulau Pinang dengan jualannya secara atas talian akan dibuka secara rasmi pada 1 Oktober 2025.

Setiap pembelian didatangkan dengan nombor siri eksklusif untuk menjamin ketulenannya. Pembeli juga akan menerima sijil pengesahan, beg khas dan kotak edisi terhad.

Selain itu, satu unit khas turut dipamerkan di Menara KLCC sebagai simbolik kepada kolaborasi jenama kebanggaan Malaysia ini.

Untuk maklumat paling utama, helmet ARC X Petronas Sprinta 40th Anniversary ini dijual pada harga RM 298 seunit.