HELMI Azman Akui Jurang Masih Jauh

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/4/20241 min read

KEPUTUSAN yang diperoleh Helmi Azman pada perlumbaan Moto2 di Grand Prix Malaysia secara 'wildcard' membuatkannya akur jurang dengan pelumba sepenuh masa di kejuaraan bertaraf dunia itu masih jauh.

Memulakan aksi di petak ke-29, pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing RW itu menamatkan perlumbaan pada penampilan keduanya di kedudukan ke-23 sekaligus mengulangi kedudukan sama tahun lalu.

Tampak berpuas hati dengan keputusan yang diraih di Sepang, pelumba berusia 25 tahun itu mengakui keadaan fizikalnya masih dibelenggu kesakitan susukan kemalangan yang dihadapinya ketika sesi kelayakan pada Sabtu.

Helmi ketika sesi kelayakan berdepan kemalangan ngeri dengan Khairul Idham Pawi yang menyaksikan rakan sepasukannya itu berdepan kecederaan serius termasuk patah tangan dan di kaki kirinya.

Helmi berkata dia memperoleh permulaan yang baik tetapi masalah tayar membuatkan cabarannya mengendur.

"Saya cuba bertahan sehingga pusingan ke-12 namun tayar saya mula habis (cengkaman) selepas itu. Saya agak bergelut apabila perlumbaan semakin laju," kata pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu.

"Saya cuba semaksimum mungkin untuk bersaing tetapi saya juga sedar ini adalah kejuaraan dunia dan bukan tahap saya kerana saya datang daripada Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

"Walaupun ini adalah litar kita tetapi saya perlu akui tahap masih jauh."

Helmi melepasi garisan penamat 49.239 saat di belakang pemenang, Calestino Vietti dari KTM Ajo dengan pelumba pasukan Klint Forward Factory Team, Jorge Navarro menamatkan perlumbaan di kedua dan Izan Guevara melengkapkan kedudukan podium.