PERLUMBAAN 1 Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Sepang Petronas, hari ini menyaksikan hanya seorang pelumba negara berjaya berdiri di atas podium sebagai juara.
Daripada lima kategori yang dipertandingkan - ASB1000, SS600, AP250, UB150 dan perlumbaan 'one make' TVS-Asia, kemenangan hanya berjaya diraih dalam kelas SS600 menerusi Helmi Azman.
Bermula di petak kedua perlumbaan, pelumba pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing itu pada satu ketika ketinggalan sebelum berjaya bangkit dan memimpin perlumbaan sebelum pusingan pertama berakhir.
Sekalipun mendapat saingan sengit pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon, pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu tidak lagi menoleh ke belakang untuk memimpin perlumbaan sehingga garisan penamat.
"Pada perlumbaan ini, saya tahu saya boleh melakukan yang lebih baik kerana saya turut berlumba di sini bagi perlumbaan MSBK (Kejuaraan Superbike Malaysia)," kata Helmi.
"Saya tahu kelajuan maksimum di sini jadi saya cuba untuk mengawalnya. Saya juga tahu yang Apiwath juga berada di belakang jadi saya berterusan memberi tekanan dan berjaya mengekalkan jurang dan berjaya mencatat kemenangan yang juga kemenangan pertama saya pada musim ini.
"Terima kasih kepada pasukan saya kerana menyediakan jentera yang baik untuk saya, bukan saja untuk perlumbaan kali ini, namun pada pusingan sebelum ini," kata Helmi.
Apiwath yang berlumba bersama pasukan Yamaha Tekhne Racing Asian terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala seorang lagi pelumba Thailand, Kiattisak Singhapong melengkapkan kedudukan podium.
Sementara itu, kelas elit ASB1000 menyaksikan penguasaan pelumba Jepun, Yuki Kunii daripada pasukan NSDG Team HARC-PRO Honda Ph yang cemerlang meraih kemenangan.
Begitupun, tempat kedua yang diperoleh pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman (TKKR BMW Racing) mengubat sedikit kekecewaan dengan pelumba Thailand, Nakarin Atiraphuvapat (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) melengkapkan kedudukan podium.
Harapan yang diletakkan kepada pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah yang cemerlang ketika sesi kelayakan dan memulakan perlumbaan di petak utama tidak kesampaian apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6.
Dalam pada itu, Malaysia tetap mempunyai wakil di podium pada tiga lagi perlumbaan dengan Md Syarifuddin Azman atau Damok (Idemitsu Boon Siew Honda Racing) memperoleh tempat ketiga dalam aksi AP250, Shahrol Syazraz Yuzy (Honda Estremo Yuzy Racing) tempat ketiga UB150 dan turut meraih tempat ketiga dalam perlumbaan TVS-Asia menerusi Md Ramdan Rosli.