HILANG Banyak Benda - Marc Marquez

Bintang Ducati Lenovo, Marc Marquez yang sedang mendahului kejuaraan MotoGP 2025 dengan kelebihan 68 mata mengakui bahawa perpindahannya ke Ducati dari Honda membuatkannya 'hilang' banyak perkara

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/6/20251 min read

Marc Marquez
Marc Marquez

JUARA dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez mengakui dia kehilangan banyak perkara berikutan keputusannya meninggalkan Honda untuk menyertai Ducati.

Begitupun, tanpa 'tindakan' mengejutkan itu, apa yang berlaku kepadanya sekarang iaitu menduduki tangga teratas kedudukan carta MotoGP adalah 'mustahil'.

Selepas bertahun-tahun bersama Honda sejak 2013, pelumba kelahiran Sepanyol itu membuat keputusan menyertai Ducati menerusi pasukan satelit, Gresini Ducati pada musim 2024.

Dan ia setakat ini jelas keputusan yang berbaloi apabila dia ketika ini sedang menyarung sut lumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo dan sedang memimpin carta kejuaraan musim 2025 selepas 10 pusingan hasil enam kemenangan pada Perlumbaan GP dan lapan Perlumbaan Sprint.

"Apa yang saya cuba katakan, saya tidak boleh memilih kerana pada tahun pertama saya di MotoGP adalah menakjubkan," kata Marquez ketika ditanya adakah situasi sekarang lebih baik berbanding ketika dia belum berdepan kecederaan, memetik laporan Crash.net.

"Tetapi seperti yang saya katakan kadang kala, cabaran terbesar saya, cabaran paling sukar dalam karier saya, adalah untuk kembali bangkit daripada kecederaan.

"Saya memperjudikan diri saya. Saya kehilangan banyak perkara, hanya untuk memahami adakah saya masih kompetitif.

"Bagu saya, tahun paling penting dalam karier saya adalah pada tahun lalu bersama pasukan Gresini Ducati kerana ia adalah masa saya membuat keputusan. Dan kemudian, segala-galanya datang.

"Tahun lalu penting dalam karier saya dengan kepulangan daripada kecederaan, kerana tanpa tahun itu adalah mustahil untuk memakai sut lumba berwarna merah dan memimpin kejuaraan."

Sebelum bergelut dengan kecederaan yang diperolehnya pada awal musim 2020, pelumba berusia 32 tahun itu berjaya memenangi enam gelaran dunia MotoGP dan selepas keadaan fizikalnya semakin baik, prestasi Honda mula menurun.

Keadaan itu menyaksikan Marquez mengetepikan kontrak yang dikatakan bernilai puluhan juta Euro setahun daripada HRC malah dikhabarkan tidak menerima gaji ketika di Gresini Ducati selain terpaksa berpisah dengan beberapa lagi penaja utama termasuk Red Bull.