SEJAK diperkenalkan beberapa tahun lalu di pasaran global, model bergaya retro klasik Yamaha XSR155 kekal menjadi model yang diharapkan dan dinanti-nantikan untuk menerjah pasaran Malaysia.
Diletakkan dalam segmen 'Sport heritage' dengan sesaran enjin paling kecil oleh Yamaha, begitupun antara 'kakuatan' Yamaha XSR155 pastinya rekaannya yang menarik.
Menjadi antara model Yamaha yang ditunggu-tunggu di pasaran tempatan, timbul satu satu perkembangan menarik membabitkan model berkenaan yang dikatakan sebagai 'adik' kepada Yamaha XSR700 dan XSR900 itu.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, syarikat itu akan memperkenalkan sebuah model serba baharu sempena sambutan Karvinal GenBlue Yamaha 2024 di Johor, minggu ini.
Dan sekalipun tiada kenyataan rasmi daripada Hong Leong Yamaha Motor ataupun sebarang 'teaser' dibuat setakat ini, antara model yang dijangkakan adalah Yamaha XSR155.
Sebelum ini, kami di MotoDotMy.com pernah melaporkan yang syarikat itu sedang melakukan ujian model mirip Yamaha XSR155 di sekitar Sg Buloh yang juga lokasi ibu pejabat Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).
Namun agak mengecewakan, tiada bukti bergambar dapat dikongsikan termasuk mengenai perinciannya sekalipun dari sudut rekaan dan penampilan, model yang ditutup dengan pelekat hitam itu sememangnya Yamaha XSR155.
Seperti diketahui, Yamaha XSR155 sudah agak lama menerjah pasaran negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina dengan penerimaannya dikatakan cukup baik.
Di bahagian trenkuasa, Yamaha XSR155 dipadankan dengan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, SOHC, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair dengan teknologi VVA.
Digandingkan dengan sistem transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan ciri Assist & Slipper, kuasa yang dijana adalah 19 Hp pada 10,000 rpm dan tork 14.7 Nm pada 8,500 rpm.
Dan seperti yang boleh dijangka, ia adalah trenkuasa yang sama turut digunakan oleh Yamaha pada Y16ZR dan MT-15 yang dijual di pasaran Malaysia ketika ini namun dipadankan dengan talaan berbeza.
Menggunakan kerangka jenis Deltabox, sistem suspensi Yamaha XSR155 menggunakan fork terbalik (USD) di depan dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem brek menggunakan cakera tunggal depan dan belakang bersama saiz roda 110/70-17 (depan) dan 140/70-17 (belakang).
Sebagai perbandingan, Yamaha XSR155 di pasaran Indonesia dijual pada harga Rp 38,075,000 (RM 11,489) dan di Thailand, harga jualannya adalah 96,600 baht (RM 12,741).
Jadi adakah peminat Yamaha di Malaysia akan memperoleh Yamaha XSR155 pada tahun ini atau tidak? Sama-sama kita nantikan.
Sebagai info, Karnival GenBlu Yamaha 2024 dijadual berlangsung di Bandar Medini, Iskandar Puteri Johor pada 25 Ogos ini (Sabtu) di Gateway Garden dan bermula pada jam 12 tengah hari sehingga 6 petang.