HLYM Kemas Kini Yamaha XMax (2024), Dua Warna Baharu, RM 24,498!

TERKINI

5/21/20241 min read

TAK mahu menunggu lama, Yamaha Motor Malaysia menjalankan kemas kini terhadap skuter suku liter popularnya, Yamaha XMax (2024) yang membabitkan pilihan warna baharu.

Selain warna baharu, turut dikemaskini pihak Hong Leong Yamaha Motor adalah harga jualan skuter berkenaan.

Untuk versi 2024, harga jualan yang diumumkan adalah RM 24,498 (Tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran).

Dan perlu ditekankan, harga yang diumumkan itu adalah disyorkan pengeluar dan bukannya harga selepas ia tiba di bilik pameran.

Manakala pilihan warna baharu yang tersedia adalah dua iaitu Icon Black dan Ruby Red.

Untuk pilihan warna Icon Black, ia dipadankan dengan rim berwarna Biru dengan 'emblem' XMax di panel sisi juga berwarna Biru dan jalur berwarna Biru dan Kelabu.

Manakala untuk pilihan Ruby Red, rim yang dipadankan berwarna Hitam dengan 'emblem' XMax berwarna Perak dan jalur grafik berwarna Hitam dan Jingga.

Sebagai info, Yamaha XMax 'Gen' baharu membuat kemunculan rasminya di pasaran tempatan pada Julai tahun lalu dan diumumkan pada harga jualan RM 23,998 (asas).

Mengulas ringkas trenkuasa, Yamaha XMax (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 249.8 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC. Sistem transmisi adalah automatik V-Belt.

Kuasa yang dihasilkan setinggi 22.5 Hp pada 7,000 rpm dengan tork 24.3 Nm pada 5,500 rpm.

Menggunakan panel meter TFT berwarna, ia mempunyai ciri sambungan ke telefon pintar Y-Connect dan turut mempunyai sistem navigasi dari Garmin.

Ciri-ciri menarik adalah seperti penggunaan sistem lampu LED penuh, Sistem Kunci Pintar, Soket Pengecas, bar hendal boleh dan visor angin boleh laras, Lampu Kecemasan dan Kawalan Traksi.

Kepada yang berminat, Yamaha XMax (2024) mula tersedia pada 21 Mei 2024 di semua cawangan pengedar Yamaha Big Bikes seluruh negara. Dan setiap pembelian mendapat kunci cakera keselamatan berharga RM 100 dari Yamaha.