HLYM Tayang Yamaha XSR155 (2025) Di MAS25, Petanda Bakal Lancar Di Malaysia?
TERKINI
5/15/20251 min read


SELAIN melancarkan dua penawaran terbaharu dalam segmen skuter maxi iaitu Yamaha XMax 250 (2025) dan TMax Tech Max (2025), Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) membawakan beberapa model menarik ke reruainya sempena Malaysia Autoshow 2025 (MAS25), baru-baru ini.
Seperti dijangka, antara yang paling mendapat perhatian adalah model bergaya retro, Yamaha XSR155 (2025) berwarna 'Silver' yang ditempatkan di posisi premium.
Daripada maklumat yang diperoleh, motosikal berkenaan dikatakan didatangkan khas dari Thailand.
Dan apa yang menarik, kehadirannya di MAS25 adalah bagi mendapatkan maklum balas daripada pengunjung sekali gus memberi petunjuk pihak Yamaha Motor Malaysia mempunyai hasrat memperkenalkannya di pasaran tempatan.
Setakat ini, pihak HLYM tidak menjual mana-mana model XSR yang turut disertai Yamaha XSR700 dan XSR900 di pasaran tempatan.
Tetapi menariknya, hampir kesemua pasaran motosikal utama di negara jiran menjual motosikal yang memiliki tarikan dari sudut rekaan bergaya retro klasik itu termasuk Thailand, Indonesia dan Filipina.
Mengulas spesifikasi Yamaha XSR155 (2025), ia dijana enjin dengan teknoligi VVA
bersesaran 155 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Benar, ia adalah trenkuasa yang sama dipadankan dengan beberapa lagi model hanya Yamaha yang sudah berada di pasaran termasuklah Yamaha YZF-R15, Yamaha Y16ZR, yamaha MT-15 dan Yamaha NVX.
Tetapi berada dalam segmen retro, kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 19 Hp pada 10,000 rpm dan tork 14.7 Nm pada 8,500rpm.
Di bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork jenis terbalik (USD) depan dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem henti dijana brek cakera tunggal bersaiz 282 mm (depan) dan cakera tunggal 240 mm belakang lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Set roda 110/70-17 (depan), 140/70-17 (belakang)
Berat 134 kg
Kapasiti Tangki bahan api 10 liter
Sistem lampu LED
Panel meter LCD berbentuk bulat
Apa yang menarik, kami di MotoDotMy.com pernah melaporkan mengenai sebuah model yang cukup mirip Yamaha SXR155 berwarna hitam sedang menjalani ujian di ibu pejabat HLYM pada tahun lalu tetapi seperti biasa, tiada jawapan konkrit daripada syarikat itu ketika ditanya.
Jadi adakah HLYM benar-benar berminat untuk melancarkannya di pasaran tempatan? Pendapat kami adalah ya tetapi hanya masa yang menentukan. Sama-sama kita nantikan.




