HLYM Umum Warna Baharu Yamaha Ego Gear (2024), Harga Kekal RM 5,998!

TERKINI

10/15/20241 min read

YAMAHA Motor Malaysia mengumumkan kemas kini kepada model skuter ciliknya, Yamaha Ego Gear (2024) membabitkan pilihan warna baharu yang dikatakan lebih menarik.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Grey, Cyan dan Navy Blue bersama harga jualan asas yang masih kekal seperti tahun lalu RM 5,998.

Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan, insuran dan pendaftaran dan sudah mula tiba di cawangan pengedar sah Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) bermula hari ini.

Mengulas ringkas spesifikasi trenkuasa, Yamaha Ego Gear (2024) kekal dengan padanan enjin BlueCore bersesaran 125 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, SOHC.

Sistem transmisi yang digunakan adalah jenis automatik dengan kuasa yang dihasilkan ialah 9.4 Hp pada 8,000 rpm dan tork 9.6 Nm pada 5,500 rpm.

Di bahagian suspensi, Yamaha Ego Gear (2024) kekal dengan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) manakala sistem henti menggunakan brek cakera tunggal di roda depan dan dram di belakang.

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti penggunaan lampu hadapan jenis LED dan lampu 'pilot', Sistem Stop & Start, lampu kecemasan, tempat kaki penumpang belakang yang mesra kanak-kanak, dek 'Anti-slip' yang lebar, soket pengecas USB dan panel meter dari jenis analog.

Informasi lain mengenai Yamaha Ego Gear adalah ia mempunyai berat 95 kg, tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter, ketinggian pelana 750 mm, jarak lega bumi 135 mm, saiz tayar 70/90-14 (depan) dan 90/80-14 (belakang).