HONDA ADV 160 (2024) Dapat Warna Baharu Lagi Di Malaysia, Harga Asas RM 13.6K!

TERKINI

10/11/20241 min read

BOON Siew Honda (BSH) mengumumkan dua warna baharu untuk skuter bergaya 'Adventure' popularnya, Honda ADV 160 (2024) menerusi pengenalan pilihan yang lebih premium, Matte Green dan Matte Red.

Akan mula berada di cawangan pengedar sah BSH seluruh negara terutama di Honda Impian X pada 12 Oktober ini (Sabtu), harga yang disyorkan oleh pengedar eksklusifnya adalah RM 13,549 (asas).

Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan, insuran dan berkemungkinan berbeza apabila memasuki kedai.

Secara keseluruhan, ada empat pilihan warna untuk Honda ADV 160 (2024) di pasaran Malaysia mengikuti pilihan warna Gray dan White yang diumumkan lebih awal.

Jika ada yang terlupa, untuk dua pilihan warna berkenaan, harga yang diperkenalkan sedikit rendah iaitu RM 13,249 juga asas.

Terkenal sebagai antara pilihan untuk penggunaan harian serta melakukan aktiviti jelajah singkat di hujung minggu, Honda ADV 160 (2024) seperti diketahui mendapat penarafan Kenderaan Tenaga Efisen (EEV).

Ia dipadankan dengan enjin eSP+ bersesaran 157cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair bersama transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 11.8 kW pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.

Antara teknologi yang ditawarkan kepada skuter ini termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) yang membolehkannya mendapat penarafan 5 bintang program MyMAP.

Antara ciri menarik adalah seperti.

  • Sistem Kunci Pintar Honda

  • Sistem Henti Kecemasan (ESS)

  • Visor angin boleh laras (2 tetapan) manual

  • Storan bawah pelana 30 liter

  • Port pengecas USB

Seperti biasa, BSH menawarkan jaminan 20,000 jarak perjalanan atau dua tahun (yang mana tiba dahulu) untuk setiap pembelian.