HONDA ADV 350 (2024) Dijadual Debut Pasaran Malaysia Di MA 2024, RM 39.8?

TERKINI

5/16/20241 min read

PENANTIAN panjang peminat skuter Honda di Malaysia untuk 'menikmati' Honda ADV 350 katanya bakal berakhir dan menariknya, tidak lama lagi iaitu sebelum bulan ini melabuhkan tirainya.

Sebagai info, skuter bergaya 'Adventure' Honda ADV 350 membuat debut global pada November 2021 di Eropah dan tak menunggu lama, ia tiba di Thailand (Mac 2022) malah sudah pun dilancarkan di beberapa lagi pasaran Asean lain termasuk Singapura.

Tetapi untuk pasaran Malaysia, model yang dikatakan mencapai status 'laku keras' itu masih belum tiba, situasi sama seperti di Indonesia.

Seperti sudah tidak tahan lagi menunggu, berdasarkan sumber, pihak Boon Siew Honda (BSH) dijadual melancarkan skuter berkenaan sempena Malaysia Autoshow (MA) yang bakal berlangsung pada 22 hingga 26 Mei depan.

Dan lebih menarik, ada pihak pengedar jenama Jepun itu di Malaysia yang sudah pun mengiklankan skuter berkenaan bersama maklumat yang agak lengkap termasuk membabitkan harga jualan.

Menurut hantaran tersebut, yang dibuat di media sosial dan kemudian tular, harga yang didedahkan untuk Honda ADV 350 di pasaran boleh dikatakan agak 'menakutkan' iaitu RM 39,800.

Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada pihak BSH tetapi seperti diketahui, syarikat itu menjadi antara peserta di MA 2024 yang kebiasaannya menjadi destinasi pelancaran model baharu di pasaran tempatan.

Mengulas ringkas spesifikasi Honda ADV 350, skuter ini dipadankan dengan enjin 330 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Enjin patuh piawaian emisi Euro 5 itu menghamburkan kuasa 28.83 Hp pada 7,500 rpm dan tork 31.5 Nm pada 5,250 rpm.

Informasi lain mengenai Honda ADV 350 adalah seperti berikut:

  • Kapasiti bahan api 11.7 liter (Jarak perjalanan sejauh 340 km untuk pengisian penuh petrol)

  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)

  • Sistem lampu LED penuh, Panel meter digital LCD lengkap dengan Honda Smartphone Voice Control, Visor penghadang angin dengan ciri pelarasan (2 tahap), Sistem Smart Key, Soket pengecas USB Type-C, Sistem brek ESS (Emergency Stop Signal)

  • Ruang simpanan bawah pelana 48 liter