HONDA ADV 350 (350) Ubah Warna Di Eropah, Malaysia Terus Kena 'Sidai'?

TERKINI

11/30/20231 min read

SKUTER bergaya 'Adventure', Honda ADV 350 yang kelibatnya ditunggu-tunggu di Malaysia memperoleh kemas kini terbaharu di pasaran Eropah namun membabitkan perubahan kosmetik iaitu empat pilihan warna baharu bagi versi 2024.

Membuat debut global pada penghujung 2021, Honda ADV 350 tak menunggu lama untuk tiba di Asia dengan Thailand menjadi antara destinasi terawal malah sudah pun 'mendarat' di Singapura.

Dan sekalipun pelbagai spekulasi tercetus termasuk dari sumber yang 'boleh dipercayai', namun hingga kini, model yang dikatakan mencapai status 'laku keras' di Eropah itu masih belum kunjung tiba.

Berbalik kepada kemas kini Honda ADV 350 (2024) di Eropah, seperti dikatakan ia hanya membabitkan perubahan warna dan tak membabitkan rekaan dan spesifikasi mekanikal.

Pilihan warna yang dikatakan lebih menarik dan eksklusif itu adalah:

  • Matt Coal Black Metallic

  • Pearl Falcon Gray

  • Matt Pearl Cool White

  • Matt Pearl Pacific Blue

Mengulas ringkas trenkuasa Honda ADV 350, ia digandingkan dengan enjin bersesaran 330 cc, 4 Lejang, 1 Silinder, SOHC, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api PGM-Fi yang patuh piawaian emisi Euro 5.

Enjin dengan teknologi eSP+ itu digandingkan dengan transmisi automatik CVT dan menghasilkan kuasa setinggi 29.2 Hp pada 7,500 rpm dan 31.5 Nm pada 5,250 rpm.

Dan selain Honda ADV 350, turut mendapat warna baharu di pasaran Eropah bagi model 2024 ialah Honda Forza 350 dan Honda Forza 125 (2024).

Setakat ini, pihak pengedar rasmi motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda masih 'menutup mulut' dan sedikit mengecewakan, tiada kelibat skuter berkenaan ketika GP Malaysia 2023 yang memberi petanda tempoh ketibaannya mungkin masih jauh.