HONDA ADV 350 Dijangka Terjah Pasaran Malaysia Tahun Ini, Tapi Ye Ke?

7/9/20232 min read

SUSULAN debut globalnya 'berkurun' lalu dan sudah pun 'mendarat' di negara jiran, Thailand, tak salah untuk menyatakan 'abang' kepada Honda ADV 160 iaitu Honda ADV 350 sebagai antara skuter yang dinanti-nantikan di pasaran tempatan ketika ini.

Kepada yang tak tahu, skuter bergaya 'Adventure' Honda ADV 350 membuat debut global pada November 2021 di Eropah. Dan tak menunggu lama, itu tiba di Thailand (Mac 2022) dan turut tampil di beberapa lagi pasaran termasuk Singapura.

Tetapi sehingga kini, model yang dikatakan mencapai status 'laku keras' itu masih belum tiba di pasaran tempatan, malah di beberapa pasaran utama dunia termasuk Indonesia.

Situasi itu sememangnya mencetuskan pelbagai persoalan terutama adakah ia benar-benar akan diperkenalkan atau 'kita' sedang menunggu sesuatu yang lain (Honda ADV 250).

Ini bukan sesuatu yang pelik atau aneh untuk pasaran seperti Indonesia dan Malaysia yang mempunyai kekangan membabitkan lesen memandu/menunggang yang menyaksikan beberapa jenama bertindak tidak memasarkan model dalam lingkungan sesaran enjin 251 cc hingga 400 cc.

Justeru untuk menggantikan model seperti Honda ADV 350, antara yang berkemungkinan ditawarkan daripada Honda adalah model sama yang dibekalkan dengan enjin bersesaran 250 cc.

Bukan sekadar khabar angin atau spekulasi, laporan mengenai penghasilan Honda ADV 250 sudah pun lama tersiar selepas tertirisnya dokumen paten skuter itu di Indonesia, tahun lalu. Tetapi tiada perkembangan lanjut mengenainya sehingga kini.

Berdasarkan beberapa laporan beberapa media automotif tempatan, pihak Boon Siew Honda (BSH) dikatakan tidak berminat untuk menunggu lama dan bakal melancarkan Honda ADV 350 di pasaran tempatan pada tahun ini.

Perkembangan itu dikuatkan dengan hantaran yang dilakukan oleh cawangan pengedar Honda Big Wing yang masih belum 'rasmi' di pasaran tempatan. Dan anehnya, beberapa cawangan Honda Big Wing yang sudah lama bertapak di pasaran tempatan seperti Honda Big Wing PJ atau Big Wing Setapak langsung tidak membicarakan mengenai.

Justeru untuk pasaran Malaysia, ada kemungkinan Honda ADV 350 mungkin tidak akan dilancarkan dan bakal tiba dalam versi Honda ADV 250, pendekatan sama yang dilakukan untuk Honda Forza 250.

Perkembangan terbaharu yang diperoleh MotoDotMy, sumber daripada BSH mendedahkan syarikat itu memang akan melancarkan sesuatu yang 'baharu' pada tahun ini (berkemungkinan hujung tahun).

Dan melihat kepada situasi pasaran, ada logiknya BSH membawa masuk Honda ADV 350 bagi melawan 'kekuasaan' skuter popular dari jenama 'Y'. Dan jika harganya 'tepat', pelan itu memang dijangka boleh berjaya.

SPESIFIKASI ringkas Honda ADV 350

- Enjin 330 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

- Enjin patuh piawaian emisi Euro 5 itu menghamburkan kuasa 28.83 Hp pada 7,500 rpm dan tork 31.5 Nm pada 5,250 rpm.

- Kapasiti bahan api 11.7 liter (Jarak tempih sejauh 340 km pengisian penuh petrol)

- Ada Honda Selectable Torque Control (HSTC)

- Sistem lampu LED penuh, Panel meter digital LCD lengkap dengan Honda Smartphone Voice Control, Visor penghadang angin dengan ciri pelarasan (2 tahap), Sistem Smart Key, Soket pengecas USB Type-C, Sistem brek ESS (Emergency Stop Signal)

- Ruang simpanan bawah pelana 48 liter