HONDA ADV160 (2023) Dapat Warna Baru 'Force Silver', Harga Asas RM 12,999!

TERKINI

11/6/20231 min read

TAK sampai setahun pengenalannya di pasaran tempatan, Boon Siew Honda (BSH) mengumumkan kemas kini untuk penawaran skuter popularnya, Honda ADV160 (2023) menerusi pengenalan warna baharu 'Force Silver'.

Apa yang menarik, tiada perubahan harga disyorkan oleh pengilang untuk skuter berkenaan iaitu kekal RM 12,999.

Seperti biasa, harga yang dipamerkan itu asas, tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dan menurut BSH, Honda ADV160 dalam warna Force Silver ini akan tersedia di semua rangkaian pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara mulai esok (7 November 2023).

Sebagai info, Honda ADV160 yang menggantikan Honda ADV150 rasmi 'mendarat' di pasaran Malaysia pada Januari lalu dengan perasmiannya berlangsung di P.Pinang.

Mengulas ringkas spesifikasi trenkuasa Honda ADV160, skuter ini dijana enjin enhanced Smart Power Plus (eSP+) bersesaran 156.9 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 11.8 kW pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.

Antara teknologi yang ditawarkan kepada skuter ini termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Ia dikatakan berfungsi untuk melaraskan kuasa enjin bagi mengoptimumkan tork di tayar belakang bagi mengurangkan kegelinciran tayar.

Informasi penting lain termasuklah ketinggian pelana 780 mm, visor angin boleh laras dua tetapan (manual) dan ruang simpanan barangan bawah pelana berkapasitu 30 liter.

Seperti biasa, setiap pembelian hadir dengan jaminan kilang BSH iaitu selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (mana tiba dahulu).