HONDA ADV160 2026 Dikesan Jalani Ujian Di Malaysia, Pelancaran Dah Dekat?
Honda ADV160 2026 hadir dengan beberapa naik taraf penting khususnya membabitkan panel meter yang lebih moden daripada digital LCD kepada skrin TFT mirip model lebih berkuasa seperti ADV 350 dan X-ADV 750
TERKINI
9/11/20251 min read


HONDA ADV160 versi terbaharu (2026) baru saja dirasmikan di Indonesia dan menariknya, ia menampilkan beberapa pembaharuan termasuk dari segi reka bentuk dan teknologi.
Turut popular di pasaran Malaysia, model yang membuat penampilan di pasaran tempatan pada awal tahun 2023 itu hadir dengan beberapa naik taraf penting bagi versi 2026 yang dipercayai membolehkannya kekal bersaing.
Setakat ini, tiada sebarang perkembangan bila versi terbaharu ini akan menerjah pasaran tempatan tetapi timbul perkembangan mengujakan apabila muncul video yang menunjukkan sebuah skuter yang sangat mirip dengan Honda ADV160 2026 sedang diuji di jalan raya Malaysia.
Sekalipun imej itu menampilkan unit dengan pelekat hitam di beberapa bahagian, namun bentuk fairing depan, windshield sangat menyerupai ADV160 baharu.
Mengulas lanjut model 2026, ia hadir dengan beberapa naik taraf penting khususnya membabitkan panel meter yang lebih moden daripada digital LCD kepada skrin TFT mirip model lebih berkuasa seperti ADV 350 dan X-ADV 750.
Dengan perubahan skrin meter, ia datang dengan fungsi Honda RoadSync (termasuk navigasi, panggilan telefon dan muzik) yang dikemaskini selain butang suis baharu yang diposisikan di sebelah kiri bar hendal.
Selain itu, ia turut menampilkan suis 'passing-light' baharu selain port pengecas USB Type-C baharu yang berada di bahagian kokpit.
Mengulas trenkuasa, Honda ADV160 2026 masih mengekalkan unit 157cc eSP+ yang efisien bersama transmisi automatik CVT. Kuasa berada pada angka 15.8 Hp pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.
Ciri-ciri menarik lain adalah seperti berikut:
Visor angin boleh laras
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
Honda Selectable Torque Control (HSTC)
Emergency Stop Signal (ESS)
Idling Stop System (ISS)
Honda Smart Key
Ruang simpanan bawah pelana 30 liter
Tangki bahan api 8.1 liter
Tinggi pelana 780 mm
Bagi pasaran Indonesia, Honda ADV 160 2026 dijual pada harga IDR41.95 juta (RM 10.7k). Setakat ini, pihak Boon Siew Honda (BSH) seperti biasa masih mengunci mulut namun ia memang satu perkembangan yang menarik.
