HONDA ADV160 (2026) Kini Di Malaysia, 2 Varian Termasuk 'RoadSync', Mula RM 13,249!

Pelancaran skuter bergaya 'Adventure' popular, Honda ADV160 (2026) yang membuat debut global di negara jiran, tahun lalu berlangsung sempena Malaysia Bike Show (MBS) 2026 yang sedang berlangsung di Maeps, Serdang

PELANCARAN

5/29/20261 min read

TEKA-teki mengenai model apa yang dilancarkan Honda Motor Malaysia sempena Malaysia Bike Show (MBS) 2026 terjawab apabila pengedar eksklusif jenama Jepun itu melancarkan versi terbaharu skuter popularnya, Honda ADV160 (2026) yang hadir dengan teknologi RoadSync.

Selain Honda ADV160 (2026) RoadSync, turut dilancarkan adalah varian standard yang dinamakan Honda ADV160 (2026) ABS.

Harga dan pilihan warna adalah seperti berikut:

Honda ADV160 (2026) RoadSync

  • Harga: RM 13,649

  • Pilihan warna: Matte Grey, Brown

Honda ADV160 (2026) ABS

  • Harga: RM 13,249

  • Pilihan warna: Gray, White

Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan, insurans serta pendaftaran.

Tiada perubahan dari sudut trenkuasa dengan kedua-dua varian dipadankan dengan enjin dengan teknologi Enhanced Smart Power+ (eSP+) bersesaran 157 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 15.8 Hp pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.

Seperti versi terdahulu, Honda ADV160 (2026) turut mendapat pengiktirafan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan penarafan 5 Bintang MyMAP.

Untuk Honda ADV160 (2026) RoadSync, seperti namanya ia dilengkapi panel meter TFT berwarna bersaiz 5 inci yang diintegrasikan dengan sistem Honda RoadSync dengan ciri sambungan ke telefon pintar.

Menerusi teknologi ini, penunggang boleh mengakses fungsi navigasi, panggilan telefon, muzik dan notifikasi mesej secara terus pada paparan meter.

Bagi Honda ADV160 ABS pula, ia masih menggunakan paparan meter digital.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang) dari jenama SHOWA lengkap dengan Subtank berwarna hitam.

Ciri-ciri standard yang ditawarkan termasuk Honda Selectable Torque Control (HSTC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), visor angin boleh laras manual, sistem lampu LED penuh, Honda Smart Key, soket USB Type-C.

Info lain adalah seperti ruang simpanan bawah pelana sebesar 30 liter dan tangki bahan api sebesar 8.1 liter.

Menurut Boon Siew Honda (BSH), Honda ADV160 (2026) akan mula tiba di cawangan pengedar Honda Impian X bermula 11 Jun ini.