HONDA ADV160 Generasi Baharu Bakal Tiba, Pelancaran Tak Lama Lagi!
Menurut laporan media automotif dari negara jiran, generasi terbaharu skuter popular Honda ADV160 berkemungkinan besar akan dilancarkan seawal bulan hadapan.
TERKINI
8/31/20252 min read


SATU perkembangan mengujakan buat peminat skuter bergaya 'Adventure', Honda ADV160 di rantau ini apabila model popular berkenaan dikatakan akan memperoleh kemas kini generasi baharu tak lama lagi.
Menurut laporan dari negara jiran, skuter berkenaan dilaporkan sedang berada dalam fasa akhir pembangunan dan lebih menarik dijangka membuat kemunculan rasmi tidak lama lagi.
Menurut laporan media automotif dari Indonesia, generasi terbaharu Honda ADV160 berkemungkinan besar akan dilancarkan seawal bulan hadapan.
Dan dijangkakan, pasaran Indonesia akan menjadi destinasi pertama untuk debut rasmi model ini, sebelum ia diperkenalkan ke pasaran Asia Tenggara lain termasuk Malaysia.
Sebagai info, Honda ADV160 sedia ada dilancarkan di Malaysia pada Januari 2023 yang menjadi langkah pantas Boon Siew Honda (BSH) untuk memperkenalkan versi kemas kini dalam segmen yang cukup kompetitif ini.
Apa yang Boleh Dijangkakan? Penambahbaikan Fokus Kepada Reka Bentuk & Fungsi
Sebagai sebuah model generasi baharu, beberapa penambahbaikan signifikan dijangka akan ditampilkan. Antara perubahan utama yang menjadi sebutan adalah:
Reka Bentuk Lebih Segar: Honda dijangka akan memberikan sentuhan baharu pada reka bentuk ADV160 agar kelihatan lebih moden dan agresif, selari dengan statusnya sebagai skuter penjelajah.
Perubahan mungkin melibatkan rekaan panel badan, lampu hadapan dan belakang, serta pilihan warna yang lebih menarik.
Salah satu kemas kini yang paling ketara adalah penggunaan panel meter digital baharu. Ia dikatakan bersaiz lebih besar dan lebih informatif, mirip dengan paparan yang digunakan pada model Honda PCX 160.
Ini akan memberikan pengalaman tunggangan yang lebih premium dengan paparan maklumat yang jelas dan mudah dibaca.
Turut mengambil maklum balas pengguna, ketinggian pelana dijangka akan direndahkan.
Dari segi prestasi, Honda ADV160 generasi baharu ini dijangka akan mengekalkan enjin sedia ada, iaitu enjin 157cc eSP+ (enhanced Smart Power Plus) sejukan cecair. Enjin ini sudah terbukti menerusi keseimbangan antara kuasa, kecekapan bahan api, dan kelancaran operasi.
Enjin ini mampu menghasilkan sekitar 15.8 Hp dan tork 14.7 Nm, memberikan pecutan yang responsif untuk kegunaan di dalam bandar mahupun di lebuh raya. Ciri-ciri premium seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang berfungsi sebagai kawalan cengkaman juga dijangka akan dikekalkan untuk keselamatan tambahan.
Buat masa ini, semua maklumat masih lagi berdasarkan laporan awal. Para peminat perlu menantikan pengumuman rasmi daripada pihak Honda untuk mengetahui spesifikasi penuh, harga, dan tarikh pelancarannya di Malaysia. Sama-sama kita nantikan.
