HONDA ADV160 Spider Man Lancar Di Malaysia, Terhad 300 Unit, RM 14,149!

Dari segi spesifikasi, Honda ADV160 Edisi Istimewa Spider Man (2026) dibina berasaskan varian Honda ADV160 RoadSync yang dilengkapi panel instrumen TFT bersaiz 5 inci serba moden berserta sistem penyambungan Honda RoadSync

PELANCARAN

7/15/20262 min read

MENGIKUTI pelancaran Honda ADV160 Roadsync pada Mei lalu, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH), hari ini mengumumkan skuter bergaya lasaknya itu kini tampil dengan versi edisi istimewa, Honda ADV160 Edisi Istimewa Spider-Man (2026).

Menjadikannya lebih eksklusif, model yang menampilkan tema watak adiwira ikonik Marvel itu ditawarkan terhad 300 unit seluruh negara dengan pihak BSH menegaskan tiada pengeluaran semula akan dibuat sebaik sahaja ia habis terjual.

Ditawarkan pada harga bilik pameran RM 14,149 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran), Honda ADV160 Edisi Istimewa Spider Man (2026) boleh didapati di semua pengedar sah Honda Impian X terpilih bermula 3 Ogos 2026.

Menggunakan tema Spider Man, Honda ADV160 Edisi Istimewa Spider-Man (2026) seperti dijangka dihiasi dengan liveri dan logo berkonsepkan labah-labah yang popular dengan watak berkenaan.

Bagi peminat yang mahu melihat model ini secara dekat sebelum ia mula dijual, pameran awam pertamanya akan diadakan di reruai Marvel's Spider-Man World of Webs di pusat beli-belah Sunway Carnival, Pulau Pinang bermula 16 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Selain itu, Honda ADV160 Edisi Istimewa Spider-Man (2026) turut akan dipamerkan di pawagam TGV dan GSC terpilih sekitar Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, dan Johor Bahru bermula 30 Julai hingga 13 Ogos depan, bersempena dengan tayangan filem Spider-Man: Brand New Day.

Untuk melengkapkan status eksklusifnya, setiap pembelian Honda ADV160 Edisi Istimewa Spider-Man (2026) akan menerima Set Hadiah Edisi Spider-Man yang merangkumi:

  • Kotak Hadiah Premium Edisi Spider-Man

  • Thermos LED

  • Penutup Tangki Minyak khas

  • Emblem Honda dan ADV160

  • Kad Sijil Pemilik dengan nombor siri unik (2 hingga 301)

Dari segi spesifikasi, Honda ADV160 Edisi Istimewa Spider-Man (2026) dibina berasaskan varian Honda ADV160 RoadSync yang dilengkapi panel instrumen TFT bersaiz 5 inci serba moden berserta sistem penyambungan Honda RoadSync.

Menerusi teknologi pintar ini, penunggang boleh menguruskan panggilan telefon, navigasi dan muzik secara terus dari bar hendal, sekali gus memastikan fokus dan pandangan kekal di jalan raya.

Ulas trenkuasa, Honda ADV160 Edisi Istimewa Spider-Man (2026) dipacu oleh enjin eSP+ (Enhanced Smart Power Plus) bersesaran 156.9 cc, 1 Silinder, Fi yang turut mendapat pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) Malaysia.

Menyentuh soal keselamatan, model yang menerima penarafan lima bintang MyMAP ini memiliki sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Kunci Pintar serta Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti visor boleh laras, ruang storan bawah pelana berkapasiti 30 liter dan Idling Stop System (ISS) dan lampu LED penuh.

Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan bersama jaminan pengeluar selama 2 tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer (km), tertakluk kepada mana-mana yang tiba dahulu.