HONDA ADV160 Trico Edition Diperkenalkan, RM 14,149!
'Trico' yang menampilkan skema warna ikonik lumba Honda iaitu merah, putih dan biru adalah gabungan warna warisan yang sekian lama membawa semangat perlumbaan Honda dan ia kini dipadankan kepada Honda ADV160 Trico Edition
TERKINI
10/8/20261 min read


HONDA Motorcycle Malaysia terus menyegarkan barisan penawaran skuter gaya pengembaraan popularnya dengan memperkenalkan versi edisi istimewa Honda ADV160 Trico Edition - versi yang dipadankan dengan skema warna ikonik lumba Honda iaitu merah, putih dan biru (Trico).
Sebagai model edisi istimewa, harga yang diumumkan untuk Honda ADV160 Trico Edition adalah RM 14,149 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) dan varian yang didatangkan dengan sistem penyambungan Honda RoadSync.
Seperti diketahui, 'Trico' adalah warna warisan yang sekian lama membawa semangat perlumbaan pengeluar motosikal dari Jepun itu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano, berkata warna Trico mewakili warisan perlumbaan Honda serta komitmen syarikat dalam membina motosikal yang dibanggakan oleh pemiliknya.
"Membawa warna ini kepada Honda ADV160 mencerminkan dedikasi kami untuk menawarkan kepada penunggang di Malaysia bukan sahaja dari sudut teknologi termaju, tetapi juga semangat sebenar Honda," katanya.
Sebagai varian teratas, Honda ADV160 Trico Edition dipadankan dengan pelbagai ciri menarik termasuk panel meter TFT bersaiz 5-inci dengan fungsi sambungan telefon pintar, Sistem Kawalan Cengkaman Honda (HSTC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Sistem Kunci Pintar (Smart Key).
Ulas trenkuasa, Honda ADV160 Trico Edition dipadankan dengan enjin 157 cc, Enhanced Smart Power+ (eSP+) 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dan digandingkan dengan transmisi auto CVT.
Ciri-ciri menarik lain adalah seperti ruang simpanan U-Box seluas 30 liter, memperoleh penarafan keselamatan 5-bintang MyMAP serta pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Lebih menarik, setiap pembelian model Honda ADV160 Trico Edition ini akan didatangkan dengan fon telinga (earbuds) jenama JBL dan penutup muka (balaclava) jenama Motowolf secara percuma (selagi stok masih ada).
Honda ADV160 Trico Edition akan mula berada di semua pengedar sah Honda Impian X di seluruh negara bermula 9 Oktober 2026.
Sebagai info, varian Honda ADV160 dengan Honda RoadSync turut ditawarkan dalam warna Kelabu Matte dan Coklat pada harga RM 13,649. Model edisi khas Spider-Man berharga RM 14,149 manakala varian Standard (Putih dan Kelabu) kekal pada harga RM 13,249.





