HONDA Akan Kerah Semua 'Kekuatan' Untuk Bangkit
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/22/20251 min read


HONDA tidak mampu untuk menunggu lama untuk kembali bangkit di MotoGP, kata bos pasukan itu Alberto Puig.
Pengeluar Jepun itu melakukan beberapa perubahan besar membabitkan individu penting dalam pasukan itu termasuk mendapatkan bekas Ketua Teknikal Aprilia, Romano Albesiano untuk mengetuai pembangunan jenteranya.
Honda ketika ini berada dalam salah satu tempoh terburuk mereka di Grand Prix selepas mengharungi tiga kempen tanpa sebarang kemenangan dalam tempoh lima tahun.
"Satu-satunya strategi yang kami letakkan kepada diri kami ketika ini adalah untuk menambahbaik jentera," kata Puig memetik laporan Autosport.
"Itu adalah titik permulaan. Dan untuk mencapainya, Honda memperuntukkan segala sumber dan teknologinya untuk digunakan.
"Saya tidak hanya bercakap mengenai sumber kewangan, tetapi juga sumber manusia. Itu adalah sebab mengapa kami mendapatkan Romano. Perkara yang pertama adalah untuk menambahbaik jentera.
"Tiada pelan lain, kami melakukan segala-gala yang kami boleh lakukan hari demi hari kerana kami sedar yang tahap kami tidak berada di tahap yang sepatutnya."
Honda menamatkan kempen musim lalu dalam kategori pengeluar di kedudukan tercorot selepas sekadar mengutip 75 mata dengan pelumba terbaiknya adalah Johann Zarco (LCR Honda) di tangga ke-17.
MotoGP bakal mengharungi perubahan besar-besaran pada musim 2027 dengan pengenalan enjin baharu bersesaran 850 cc tetapi bagi Puig, syarikat gergasi itu tidak mampu untuk menunggu selama itu.
"Jenama akan sentiasa mencari jalan untuk menjadikan jentera mereka lebih laju dan laju," kata Puig mengulas soalan mengenai peraturan 2027.
"Dengan kurang kawalan, kurang perkakasan, ia tidak memberi makna. Sukar untuk memberikan jawapan untuk soalan ini ketika ini, tetapi Honda tidak boleh menunggu sehingga 2027 untuk mengambil satu langkah, dan kerana itu saya perlu berfikir mengenai tahun depan."
