HONDA Bakal Hilang Joan Mir, Selamat Datang Jack Miller?

TERKINISUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/17/20241 min read

REPSOL Honda dijangka akan kehilangan khidmat Joan Mir dengan pelumba Australia, Jack Miller bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pelumba Sepanyol itu.

Memetik laporan MotoSprint, perpindahan juara dunia MotoGP 2020 tampak seperti tidak boleh dielakkan selepas kontraknya berakhir penghujung musim ini.

Dan Miller berpotensi menjadi calon pengganti yang ideal memandangkan pengalaman yang dimilikinya bersama Ducati dan KTM - dua pengeluar dengan jentera terbaik di grid MotoGP ketika ini.

Selepas mengharungi dua musim penuh mengecewakan bersama Honda, Mir dikatakan tidak berhasrat untuk melanjutkan kontrak berkenaan dan menariknya, dilaporkan mencari tempat di pasukan satelit Aprilia, Trackhouse Racing.

Mir dengan Trackhouse Racing sebenarnya boleh dikatakan 'rapat' dengan bos pasukan itu Davide Brivio adalah watak utama yang membawanya menjulang gelaran dunia bersama Suzuki pada 2020.

Untuk Miller, selepas menyertai KTM musim lalu, dia dijangka akan kehilangan tempatnya kepada pelumba 'Rookie' MotoGP musim ini Pedro Acosta.

Ia dikatakan berikutan keputusan yang diraih Miller tak seperti yang KTM harapkan dan pengalaman dimilikinya boleh dianggap sebagai aset untuk membangunkan Honda RC213V.

Apapun, Miller sebenarnya tidak boleh dianggap 'Rookie' kepada Honda dan pelumba berusia 29 tahun itu pernah berlumba bersama LCR Honda dan Marc VDS pada musim 2015 dan 2016. Dan lebih menarik, pernah berjaya meraih kemenangan.