HONDA BeAT (2024) Tiba Di Pasaran Malaysia, Penampilan Berubah, RM 6,090!

PELANCARAN

12/3/20241 min read

BOON Siew Honda (BSH), syarikat pengedar eksklusif motosikal jenama Honda di Malaysia mengumumkan kehadiran model 'facelift' terhadap skuter ciliknya, Honda BeAT (2024), hari ini.

Apa yang menariknya, perubahan yang berlaku bukan sekadar 'kosmetik' ringkas membabitkan pilihan warna dan corak grafik, malah dari sudut rekaan termasuk paling menonjol penggunaan lampu depan dan belakang baharu yang lebih garang.

Mengikuti perubahan di bahagian lampu utama yang menggunakan sistem LED, turut direka semula adalah bahagian panel depan yang tampil lebih menarik.

Sebelum pergi lebih jauh, harga yang diumumkan oleh BSH turut mengalami sedikit peningkatan berbanding versi 2023, iaitu RM 6,090 (asas), tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dan pilihan warna yang ditawarkan adalah empat iaitu:

  • Matte Silver

  • Red

  • Blue

  • Green

Sebagai info, Honda BeAT (2024) dengan penampilan terbaharu ini membuat debutnya di negara jiran Indonesia pada Jun lalu.

Tiada perubahan membabitkan trenkuasa dengan Honda BeAT (2024) kekal menggunakan enjin bersesaran 109.5 cc, 1 Silinder, SOHC menghasilkan kuasa sebesar 8.7 Hp pada 7,500rpm dan tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

Apa yang menarik, ia turut mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV) dengan hanya 1.7 liter untuk setiap 100 km.

Selain itu, ia turut mendapat skor 3 bintang oleh MyMAP menerusi penggunaan sistem brek CBS (Combined Brake System).

Informasi lain yang menarik termasuklah port pengecas USB, panel meter gabungan analog dan digital, ruang simpanan bersaiz 12 liter dan brek parkir.

Menurut Honda, Honda BeAT direka untuk menjadi model yang kompak dengan penampilan 'sporty' yang menawarkan tunggangan mudah termasuk ketika mengharungi trafik yang sesak.

Jaminan tersedia adalah 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km.