'Honda Berpotensi Besar, KTM Menakjubkan, Yamaha Laju Di Laluan Lurus'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/5/20242 min read

MUKA baharu di Repsol Honda, Luca Marini mencatatkan masa keenam terpantas ketika sesi ujian 'Shakedown' MotoGP 2024 di Sepang, minggu lalu dan memuji pakej yang dibawa pasukannya ke Malaysia.

Tiba di Honda sebagai pengganti 'mengejutkan' kepada Marc Marquez, banyak perkara yang perlu diharungi adik kepada Valentino Rossi itu sebagai pelumba 'Factory' namun menurutnya, jentera RCV Honda menunjukkan peningkatan yang baik berbanding di Valencia.

"Di Valencia, sejujurnya perasaan bersama jentera tidak begitu baik. Ada banyak perkara yang perlu diusahakan. Tetapi di sini segala-galanya berjalan ke arah yang sepatutnya," kata pelumba kelahiran Itali itu.

"Tetapi masih ada kerja yang perlu dilakukan di beberapa bahagian, terutama dari sudut pecutan selepas keluar daripada selekoh, lebih banyak cengkaman di belakang, jadi kami masih berusaha keras.

"Juga dari sudut aerodinamik di mana kami tidak ketinggalan tetapi dengan pengalaman yang sedikit kurang berbanding pengeluar lain yang mencipta begitu banyak perkara dari sudut ini.

"Saya memberikan maklumbalas yang baik dan idea kepada pasukan. Saya meletakkan banyak harapan kepada mereka.

"Kami mengubah banyak benda, bukan saja untuk mencari prestasi terbaik di litar ini dalam keadaan seperti ini, tetapi untuk keseluruhan musim. Ia adalah jalan kerja yang berbeza.

"Saya juga gembira yang semua pelumba Honda berusaha untuk hala tuju yang sama, kami bersetuju dengan segala-galanya."

Mengulas lanjut, Marini berkata jentera 2024 Honda mempunyai potensi yang baik untuk terus meningkat.

"Bagus untuk menunggang bersendirian kerana kamu tidak melihat prestasi jentera lain. Kamu merasa yang kamu melakukan kerja yang baik," kata pelumba kelahiran Itali itu.

"Tetapi apabila kamu melepasi garisan penamat dan masa sepusingan yang dicatat sedikit perlahan berbanding yang kamu jangkakan.

"Kami perlu terus bekerja keras. Ini hanya ujian pertama dengan pakej serba baharu. Ia memang amat berbeza dan evolusi baharu jika dibandingkan dengan jentera tahun lalu.

Mengulas mengenai pasukan lain di Sepang, Marini menjelaskan peningkatan yang dilakukan KTM yang mengungguli catatan terpantas sebagai menakjubkan dan kagum dengan kepantasan jentera Yamaha.

"KTM nampak menakjubkan. Yamaha nampak amat pantas di laluan lurus," katanya.

"Saya fikir Honda berada dalam keadaan amat baik ketika ini. Kami perlu bekerja dengan gigih, tetapi saya memiliki kepercayaan kepada mereka dan juga projek ini.

"Pada pandangan saya, ia adalah tempoh yang amat baik.