BOON Siew Honda (BSH) merasmikan pusat jualan serba lengkap motosikal 'big bike' terbaharu jenama Honda di Malaysia yang berunsurkan konsep, Honda BigWing Damansara.
Seperti cawangan Honda BigWing lain, Honda BigWing Damansara adalah pusat jualan kepada motosikal bersesaran lebih 250 cc sehingga model aras tinggi daripada Honda.
Sebagai pusat jualan yang lengkap, Honda BigWing Damansara yang dikendalikan 'pemain' terkemuka Fast Bikes Sdn. Bhd. turut memiliki bilik pameran berkonsep terbuka, 'lounge' untuk pelanggan selain pusat servis motosikal serba baharu.
Secara keseluruhan, Honda BigWing Damansara adalah pusat jualan berstatus BigWing kelima di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BSH, Mitsuharu Funase berkata pembukaan Honda BigWing Damansara menunjukkan komitmen syairkat itu untuk menyediakan pengalaman luar biasa kepada pelanggannya.
"Kami percaya bahawa lokasi baharu ini akan membantu kami memenuhi keperluan komuniti yang semakin meningkat peminat motosikal berkuasa besar Honda di Malaysia," kata Funase.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan CEO Honda BigWing Damansara, Dato' Razak Al-Malique Hussain berkata pihaknya percaya dan komited dengan kerjasama yang dijalankan bersama BSH.
"Kami yakin yang pelaburan ini adalah selaras dengan misi syarikat kami untuk menyumbang ke arah memartabatkan Fast Bikes Sdn. Bhd. dan BSH ke tahap yang lebih tinggi, dan meningkatkan lagi pengalaman pemilikan motosikal Honda."
Turut hadir pada perasmian Honda BigWing Damansara adalah Pengerusi BSH, Datuk Seri Tan Hui Jing.
Apa yang menarik, Honda BigWing Damansara tidak berada di Damansara dengan lokasinya adalah pada alamat No. 3, Jalan 13/1, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor.