HONDA BigWing Melaka Dirasmikan!

PELANCARAN

11/19/20241 min read

BOON Siew Honda (BSH) terus menambah cawangan pusat rangkaian jualan model motosikal berkuasa tingginya, Honda BigWing menerusi perasmian Honda BigWing Melaka, baru-baru ini.

Secara keseluruhan, Honda BigWing Melaka yang berkonsepkan 'pusat sehenti' yang terletak di Sg Udang adalah 'BigWing' keenam di Malaysia.

Antara yang hadir ketika perasmian Honda BigWing Melaka adalah Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Mitsuharu Funase dan Pengerusi BSH, Dato Sri Tan Hui Jing.

Dengan status sebagai Pusat 3S, Honda BigWing Melaka bukan saja memiliki bilik pameran dan pusat jualan, tetapi merangkumi pusat servis, jualan alat ganti dan aksesori termasuk ruang rehat berkonsepkan mewah yang memberikan keselesaan buat pemilik berkongsi idea.

Pusat servisnya dikatakan turut dilengkapi dengan peralatan khas bersama mekanik terlatih.

Seperti diketahui, model-model yang tersedia di Honda BigWing adalah bersesaran 250 cc ke atas antaranya Honda GL1800, XL750, CB750, CBR250RR, CB350RS, ADV350 dan NSS250.

“Kami teruja untuk melihat rangkaian Honda BigWing terus berkembang dan pembukaan Honda BigWing Melaka menunjukkan dedikasi kami untuk memenuhi keperluan komuniti motosikal berkuasa tinggi di Malaysia," kata Funase.

"Kami percaya yang lokasi ini akan menjadi tempat di mana penunggang-penunggang Honda berkumpul dan berkongsi idea khususnya di Melaka."

Sebagai info, Honda BigWing Melaka dikendalikan oleh M.P.GOH Motor Sdn Bhd dan dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat pada jam 9 pagi hingga 6.30 petang.

Ia turut dibuka pada hari Ahad bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Alamat Honda BigWing Melaka - G-1, Jalan Kerambit 3, Bandar Baru, 76300 Sungai Udang, Melaka.