HONDA BigWing Senai Rasmi 'Buka Pintu', Ke-7 Di Malaysia

HONDA BigWing Senai adalah cawangan ke-2 BigWing di Johor dan ke-7 di seluruh Malaysia dengan Honda Motor Malaysia dijadual merasmikan 2 lagi cawangan pada tahun ini

PELANCARAN

5/23/20262 min read

SYARIKAT pengedar eksklusif jenama motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH), hari ini merasmikan pusat jualan dan pameran berstatus premiumnya Honda BigWing Senai yang juga cawangan ke-7 BigWing di pasaran tempatan.

Selain menjadi cawangan terbaharu dan pertama dirasmikan BSH pada tahun 2026, Honda BigWing Senai adalah cawangan kedua di Johor yang sudah pun memiliki Honda BigWing JB.

Menurut BSH, pelancaran BigWing Senai adalah antara cara syarikat itu untuk memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan komuniti penunggang motosikal 'big bike' Honda di Johor dan Singapura.

Ia turut langkah penting dalam komitmen berterusan BSH untuk memperkukuh rangkaian serantaunya, sekali gus merapatkan jurang antara jentera bertaraf dunia dan gaya hidup permotoran buat peminat Honda di selatan tanah air.

Dengan mengetengahkan falsafah 'Zero-Clutter', Honda BigWing Senai tampil dengan rekaan minimalis yang mengutamakan keselesaan pelanggan dan kepakaran teknikal.

Fasiliti ini direka sebagai destinasi sehenti peminat dua roda yang merangkumi bilik pameran berkonsep terbuka dengan menampilkan rangkaian penuh motosikal berkuasa tinggi model 2026, termasuk model terkini yang dilengkapi teknologi Honda E-Clutch.

Selain itu, ia turut disokong oleh pusat servis khusus yang dikuatkan dengan rantaian bekalan alat ganti yang optimum, serta ruang santai eksklusif yang dijadikan hab sosial untuk komuniti permotoran dan kumpulan konvoi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano, berkata pembukaan pusat pameran Honda BigWing Senari menandakan lonjakan penting dalam strategi pengembangan rangkaian syarikat itu.

"Dengan minat yang semakin meningkat, pembukaan Honda BigWing Senai adalah sejajar dengan misi kami untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti permotoran. Juruteknik dan perunding jualan kami yang berkemahiran tinggi bersedia untuk memastikan setiap pemilik motosikal Honda menerima perkhidmatan berstandard tertinggi.

"Meskipun perasmian Honda BigWing Senai adalah yang pertama untuk tahun 2026, kami sedang menyiapkan dua lagi bilik pameran BigWing di Pulau Pinang dan Kedah menjelang akhir tahun ini," katanya.

Sempena perasmian, BSH turut menawarkan insentif eksklusif dalam tempoh terhad antaranya tawaran rebat RM 5,000 untuk model Honda Hornet CB750, Honda CB650 E-Clutch dan Honda CBR650R E-Clutch, serta pemberian aksesori EMS percuma untuk pembelian model Honda NX500 atau Honda ADV350 yang sah sehingga 31 Ogos 2026.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati potongan 20 peratus untuk barangan cenderamata dan alat ganti sehingga 24 Mei 2026.

Pusat pameran Honda BigWing Senai yang terletak di Taman Scientex Utama di sini, beroperasi setiap hari bermula jam 9.30 pagi hingga 7.00 petang.