HONDA CB1000 Hornet (2024) Diperkenalkan, Ini Baru 'Streetfighter'!

TERKINI

11/10/20231 min read

HONDA Motor Co. merasmikan motosikal 'Naked' satu liter terbaharunya yang menggunakan plat nama 'Hornet', Honda CB1000 Hornet (2024) dan ia berjaya mencuri tumpuan ketika dipertontonkan di EICMA 2023.

Seperti diketahui, Honda CB1000 Hornet (2024) menggunakan platform 'Sportbike' aras tinggi Honda CBR1000RR yang berkuasa namun sebagai sebuah 'Naked'.

Dan tidak seperti 'Saudaranya' Honda CB1000R, ia kini tampil dengan rekaan lebih 'tajam' ala 'Streetfighter' sejati dan lebih 'biasa' dilihat.

Tidak seperti Honda CB1000R yang bergaya 'moden retro', rekaan keseluruhan Honda CB1000 Hornet (2024) terutama lampu depan tampak seperti mengambil inspirasi jenama 'K' dengan rekaan lampu terpisah, tajam dan menunduk.

Ditambah dengan rekaan tangki bahan api yang baharu, ia memang tampak lebih agresif dan garang yang dilihat menjadi 'trend' ketika ini.

Di bahagian trenkuasa, Honda CB1000 Hornet (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 999 cc, 4 Silinder Sebaris, 18 Injap dan dengan talaan yang dibuat, ia menghasilkan kuasa sekitar 150 Hp dan 100 Nm tork.

Begitupun, ia bukanlah angka tepat daripada Honda namun jelas jauh daripada Honda CBR1000RR Fireblade yang menghamburkan kuasa setinggi 214 Hp. Tetapi Honda menjelaskan angka yang tepat akan dikongsikan ketika pengeluaran rasminya bermula dijangka sekitar musim panas 2024.

Sebagai sebuah motosikal aras tinggi, Honda CB1000 Hornet (2024) tiba dengan pakej elektronik menarik yang dikawal sistem 'Ride-by-wire' terotel.

Tiga mode tunggangan tersedia selain beberapa lagi bantuan tunggangan elektronik yang boleh diakses menerusi panel meter TFT digital berwarna 5 inci yang lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit menerusi Honda RoadSync.

Mengulas sistem suspensi, ia dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) Showa Separate Function Fork-Big Piston (SFF-BP) dan penyerap hentak tunggal dengan sistem Honda Pro-Link (belakang). Seperti biasa, kedua-dua suspensi memiliki ciri pelarasan (Pre-load, Rebound)

Dan sedikit mengecewakan terutama buat peminat Honda CB1000R, difahamkan, Honda turut akan menghentikan pengeluaran model berkenaan susulan prestasi jualan kurang memberangsangkan selain memberi laluan kepada Hornet.