HONDA CB350RS (2023) Buat Kemunculan Di KLBS 2023, Lancar Tahun Ni?

TERKINI

8/27/20231 min read

a motorcycle is shown in a showroom
a motorcycle is shown in a showroom

ENGGAN melepaskan peluang sebagai antara pempamer di Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023, Boon Siew Honda tampil menayangkan model yang dijangka menerjah pasaran tempatan, Honda CB350RS (2023).

Sebagai info, KLBS 2023 yang bermula pada Khamis lepas di World Trade Center (WTC) KL akan menutup tirainya, hari ini dengan pelbagai promosi menarik sedang ditawarkan kepada pengunjung.

Berbalik kepada Honda CB350RS (2023) yang membuat kemunculan di KLBS 2023, ia adalah motosikal bergaya retro klasik dengan rekaan unik.

Mengulas ringkas spesifikasi teknikal Honda CB350RS (2023), ia digandingkan dengan enjin bersesaran 348 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Udara, OHC bersama transmisi 5 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 20.8 Hp pada 5,500 rpm dan tork 30 Nm pada 3,000 rpm.

Sekalipun tampil dengan rekaan klasik retro, Honda CB350RS (2023) turut didatangkan dengan pelbagai ciri moden antaranya Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Dan sebagai model RS, ia turut dipadankan dengan ciri Honda Smartphone Voice Control system (HSVCS) dengan panel meter gandingan analog dan digital.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang). Sistem brek menggunakan cakera tunggal (depan, belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah Emergency Stop Signal (ESS), klac 'Assist & Slipper' untuk pengendalian lebih lancar.

Setakat ini, antara maklumat yang dapat dikorek adalah motosikal ini akan dilancarkan pada tahun ini bersama penawaran harga yang agak menarik.

Tetapi kepada yang berminat untuk melihat motosikal ini secara depan mata untuk mencari ilham atau 'feel', masih sempat untuk singgah di KLBS 2023.