HONDA CB350RS (2024) Kini Rasmi Di Malaysia, RM 20.5k!
TERKINI
6/26/20241 min read


PENANTIAN panjang peminat Malaysia untuk memiliki Honda CB350RS (2024) berakhir, hari ini selepas Boon Siew Honda akhirnya mengumumkan kehadiran model bergaya 'roadster' klasik itu bersama tanda harga RM 20,500 (asas).
Seperti biasa, angka menarik yang diumumkan untuk Honda CB350RS (2024) itu tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran malah mungkin lebih menarik, sudah berada di cawangan Honda Big Wing seluruh negara.
Pilihan warna yang ditawarkan pula adalah dua iaitu:
Mat Massive Gray Metallic
Athletic Blue Metallic
Kepada yang lama menantikan kelibatnya, berita mengenai kehadiran Honda CB350RS (2024) di pasaran tempatan bukan perkara baharu kerana ia pernah beberapa kali ditayangkan di pelbagai acara sejak tahun lalu.
Sebagai info, Honda CB350RS (2024) membuat debut globalnya di India sekitar tiga tahun lalu dan memang dihasilkan untuk mencabar segmen yang cukup popular di negara berkenaan.
Tampil dengan rekaan yang tampak ringkas namun tetap mengujakan, seperti model dalam keluarga Honda CB, ia tampil dengan penggunaan lampu depan LED berbentuk bulat.
Untuk menambah lagi gaya retro, panel meter gabungan analog dan digital yang digunakan juga berbentuk bulat yang turut memaparkan posisi gear, kegunaan bahan api termasuk penunjuk tongkat sisi.
Mengulas trenkuasa, Honda CB350RS (2024) dijana enjin bersesaran 348 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Udara, OHC yang dipadankan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual.
Lengkap dengan klac 'Slipper', kuasa yang dihamburkan adalah 20.8 Hp pada 5,500 rpm dan tork 30 Nm pada 3,000 rpm.
Sekalipun tampil dengan penggayaan klasik, Honda CB350RS (2024) turut dipadankan dengan pelbagai ciri-ciri moden daripada pengeluar Jepun itu antaranya sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Apa yang menarik, HSTC juga boleh dinyahaktifkan menerusi butang yang tersedia di bahagian kiri bar hendal.
Informasi lain adalah seperti set roda 100/90-19 (depan), 150/70-17 (belakang), jarak lega bumi 168 mm, ketinggian pelana 800 mm, berat (kerb) 178 kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.
Seperti biasa, pihak Boon Siew Honda turut menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).








