HONDA CB500 Hornet (2024) Dah Sampai Thailand, Ada Peluang Masuk Malaysia?

TERKINI

12/2/20232 min read

HONDA CB500 Hornet (2024), model 'Naked' yang membuat debut global di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2023, baru-baru ini tak menunggu lama untuk tiba di pasaran Asia menerusi kemunculannya di Thailand.

Diperkenalkan sempena Pameran Motor Antarabangsa Thailand, seperti diketahui Honda CB500 Hornet (2024) adalah model pengganti kepada Honda CB500F.

Sedikit mengecewakan, Honda CB500F yang pernah memeriahkan pasaran tempatan satu ketika dulu (tak begitu lama) ketika ini sudah pun tiada dalam katalog Honda Big Bike Malaysia.

Seperti barisan model 'adik beradiknya' yang lain dalam keluarga baharu Hornet, Honda CB500 Hornet tampil dengan rekaan serba baharu ala 'Naked' sejati 'Streetfighter' yang moden.

Tetapi, Honda nampaknya menggunakan lebih 'selamat' terutama dari sudut rekaan lampu depan yang bagi pendapat Motodotmy.com kurang 'garang' dan sedikit pelik.

Begitupun menurut Honda, rekaan itu, termasuk reka bentu tangki bahan api, salur udara, radiator berkaitan dengan ciri aerodinamik motosikal berkenaan yang dikatakan memperbaiki kualiti pengendalian.

Memacu trenkuasa Honda CB500 Hornet adalah enjin serba baharu bersesaran 471 cc, 2 Silinder Parallel-twin, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual (Assist & Slipper, kuasa yang dihamburkan adalah 47 Hp pada 8,600 rpm dan tork 43 Nm pada 6,500 rpm.

Selain sistem ECU yang dipertingkatkan bagi meningkatkan 'feel' ketika memecut, Honda juga turut memadankan teknologi Kawalan Traksi Honda Selectable Torque Control kepada motosikal ini.

Tidak seperti Honda CB500F, Honda CB500 Hornet (2024) dipadankan dengan sistem brek yang lebih 'mantap' iaitu brek cakera kembar bersaiz 296 mm dengan kaliper Nissin 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm (belakang).

Seperti biasa, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran datang secara standard.

Sistem suspensi pula menggunakan fork jenis terbalik (USD) jenama Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm (depa) tanpa ciri pelarasan dan penyerap hentak tunggal dengan pelarasan (preload).

Seperti motosikal moden lain, Honda CB500 Hornet (2024) menggunakan panel meter jenis TFT LCD bersaiz 5 inci yang memiliki ciri sambungan ke telefon pintar Honda RoadSync yang lengkap dengan sistem navigasi.

Informasi penting lain untuk motosikal ini adalah seperti kapasiti tangki bahan api 17.1 liter, berat 188 kg dan ketinggian pelana 785 mm.

Setakat ini, Honda Motor Thailand belum mengumumkan harga rasmi Honda CB500 Hornet (2024) di negara berkenaan.

Dan kami jugha tidak dapat memastikan sama ada Boon Siew Honda akan membawa Honda CB500 Hornet (2024) ini ke pasaran tempatan tetapi menurut sumber, pengedar berkenaan mempunyai minat tetapi seperti biasa, mungkin 'lambat lagi'.