HONDA CB750 Hornet (2023) Dilihat Di Sepang, Pelancaran Dah Dekat?

TERKINI

11/14/20232 min read

SALAH satu model motosikal Honda yang dinanti-nantikan di pasaran tempatan, Honda CB750 Hornet (2023) membuat penampilan sulungnya sempena Grand Prix (GP) Malaysia 2023, minggu lalu.

Dipamerkan di reruai Honda Motor Malaysia, motosikal yang diposisikan dalam segmen 'Naked' itu menjadi antara tumpuan ramai.

Sebagai info, Honda CB750 Hornet (2023) adalah model serba baharu daripada Honda dan ia membuat penampilan global di Jerman pada Oktober tahun lalu.

Dan berdasarkan risikan sebelum ini, ia menjadi antara model yang dijadualkan memasuki pasaran tempatan namun tiada perkembangan sehingga kini.

Dari sudut rekaan, Honda CB750 Hornet (2023) tampil dengan penggayaan moden dan agresif ala ‘streetfighter’ yang menurut Honda, disasarkan kepada penunggang generasi baharu yang memang meminati gaya 'Naked'.

Apa yang menariknya, rekaan itu dikatakan diilhamkan pasukan rekaan R&D Honda di Eropah, lebih tepat di Itali yang sememangnya terkenal dengan deretan pereka berkaliber.

Mengulas trenkuasa, Honda CB750 Hornet (2023) dijana enjin bersesaran 755 cc, Parallel-twin, dengan teknologi '270-degree crank & Unicam', 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api.

Memiliki karakter 'ala' V-Twin, ia dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap ‘assist/slipper’ dengan kuasa yang dihasilkan adalah 92 Hp pada 9,500 rpm dan tork 75 Nm pada 7,250 rpm.

Dan menurut pengeluar Jepun itu, Honda Hornet CB750 (2023) mampu mencapai kelajuan 205 km/j.

Dipadankan dengan kerangka jenis ‘steel-diamond’ Honda Hornet CB750 (2023) seperti motosikal moden lain dipacu teknologi 'ride-by-wire' yang yang menawarkan empat mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain dan User.

Seperti biasa, setiap mod itu memiliki pemetaan sendiri untuk kuasa enjin, brek enjin, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Kawalan Wheelie.

Segala tetapan boleh dilihat menerusi skrin panel meter TFT bersaiz 5 inci yang menariknya, turut datang dengan ciri 'Honda Smartphone Voice Control' dan sambungan ke telefon bimbit (Android dan iOS).

Selain itu, Honda CB750 Hornet (2023) yang memiliki berat 190 kg ini turut ciri keselamatan canggih 'Honda Ignition Security System' manakala sistem lampu menggunakan LED sepenuhnya dan lampu signal juga memiliki ciri 'auto-canceling'.

Di bahagian suspensi, ia dipadankan dengan fork jenis terbalik Showa SFF-BP 41 mm dengan jarak pergerakan 130 mm manakala suspensi belakang dijana penyerap hentak tunggal dengan swingarm Pro-Link dengan jarak pergerakan 150 mm boleh laras (prabeban).

Kuasa membrek pula ditugaskan kepada brek cakera berkembar bersaiz 296 mm dengan kaliper Nissin 4-piston (depan) dan cakera tunggal bersaiz 240 mm dengan kaliper 1 piston (belakang) yanglengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 saluran.

Informasi lain adalah seperti ketinggian pelana 795 mm, tangki bahan api 15.1 literdan set roda 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang).

Berdasarkan sumber, pihak Boon Siew Honda memang merancang untuk membawa Honda CB750 Hornet (2023) ke Malaysia tahun itu tetapi timbul masalah dari sudut logistik yang menghalang daripada ia tiba pada masa yang ditetapkan.