HONDA CBR1000RR-R Fireblade (2027) Diyakini Mampu Rangkul Kemenangan Di Pentas WorldSBK!
'Sportbike' Honda CBR1000RR-R Fireblade (2027) yang dipertontonkan di pameran antarabangsa EICMA 2026 di Milan itu menerima pembaharuan menyeluruh, merangkumi kerangka dan lengan ayun serba baharu, rekaan fairing bersama aerodinamik dipertingkat, serta beberapa talaan pada unit enjin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/12/20261 min read


PELUMBA Honda HRC di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK), Jake Dixon yakin pasukan itu berupaya mencabar kemenangan menggunakan jentera baharu Honda CBR1000RR-R Fireblade (2027).
'Sportbike' berprestasi tinggi yang dipertontonkan di pameran antarabangsa EICMA 2026 di Milan itu menerima pembaharuan menyeluruh, merangkumi kerangka dan lengan ayun serba baharu, rekaan fairing bersama aerodinamik dipertingkat, serta beberapa talaan pada unit enjin.
Biarpun keberkesanan pakej baharu itu hanya akan terbukti apabila musim bermula, Dixon yang berpeluang menguji jentera itu di Litar Jerez pada penghujung Oktober lalu mengakui sangat teruja dengan potensi yang ditunjukkan.
"Saya yakin 100 peratus dengan hala tuju yang diambil oleh Honda ketika ini. Saya tidak sabar menghadapi cabaran baharu dengan motosikal ini serta peraturan baharu yang akan diperkenalkan," katanya kepada WorldSBK.com.
Menurut pelumba kelahiran Britain itu, sasaran utamanya bersama Honda dan HRC adalah untuk menang, sekali gus bangkit daripada musim sukar yang dilalui sebelum ini.
"Saya rasa kami mampu bersaing untuk meraih kemenangan. Jika tidak mampu berbuat demikian, tiada gunanya kami bangun setiap hari dan berlatih sekeras mungkin. Matlamat saya dan Honda adalah untuk menang," katanya.
Mengulas lanjut mengenai perbezaan ketara berbanding model terdahulu, Dixon menyifatkan aspek aerodinamik sebagai perubahan paling drastik yang bakal membantu mereka bersaing di kelompok hadapan.
"Secara jujurnya, ia motosikal yang serba baharu dengan kerangka dan aerodinamik terkini. Kami merasai peningkatan yang sangat besar ketika menunggangnya di Jerez dua minggu lalu berbanding jentera lama," katanya.

