HONDA CBR250RR (2024) Tiba Di Malaysia, Spesifikasi, Rekaan Dipertingkat, RM 28k!
TERKINI
6/14/20242 min read
HONDA Motor Malaysia akhirnya mengumumkan kehadiran versi terkini motosikal 'Sportbike' suku liter popularnya, Honda CBR250RR (2024) ke pasaran tempatan.
Sebelum pergi lebih jauh, model yang diperkenalkan oleh Boon Siew Honda (BSH), hari ini itu adalah model yang membuat debut globalnya di Indonesia pada penghujung tahun 2022.
Justeru sebagai model naik taraf, Honda CBR250RR (2024) bukan saja mendapat pembaharuan dari sudut kosmetik, namun turut diberikan kemas kini di bahagian rekaan, suspensi dan trenkuasa lebih bertenaga.
Dan seperti biasa, hanya satu varian diperkenalkan oleh BSH untuk pasaran tempatan dan menariknya lengkap dengan spesifikasi tertinggi.
Harga jualan yang diumumkan pula adalah RM 27,999 (asas) tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Dua pilihan warna ditawarkan iaitu:
Mat Zodiac Blue Metallic
Honda Tricolor
Mengulas rekaan, andai tidak diperhalusi, perubahan yang dibuat untuk model yang mula diperkenalkan di pasaran sejak tahun 2016 itu nampak tidak begitu ketara.
Tetapi jika diperincikan, bahagian panel sisi badannya iaitu 'fairing' kini tampil dengan rekaan baharu yang lebih menarik dan didakwa Honda lebih lebar berbanding versi terdahulu selain lebih aerodinamik.
Namun sedikit mengecewakan, seperti bahagian depan, tiada perubahan ketara di bahagian 'ekor' namun dengan perubahan di bahagian sisi menyaksikan penampilan Honda CBR250RR (2024) kini lebih mirip jentera 'big bike'.
Selain itu, naik taraf paling dinantikan juga adalah di bahagian suspensi dengan motosikal itu kini menggunakan fork jenis terbalik USD Separated Function Fork - Big Piston (SFF-Big Piston) yang menghasilkan kualiti tunggangan lebih baik meyakinkan.
Di bahagian trenkuasa, kemas kini yang dilakukan Honda menyaksikan kuasa yang dihamburkan oleh enjin Honda CBR250RR (2024) bersesaran 249.7 cc, 2 Silinder Parallel-Twin meningkat 1 PS kepada 42 PS pada 13,000 rpm bersama tork 25 Nm pada 11,000 rpm.
Menurut Honda, antara yang dibuat untuk mendapatkan kuasa lebih tinggi adalah menerusi penggunaan nisbah mampatan yang kini lebih tinggi manakala ukuran ratio gear turut meningkat.
Sistem transmisi yang dipadankan adalah 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper' dan menariknya, memiliki sistem 'Quick shifter'.
Pernah menjadi 'Sportbike' paling berkuasa dalam kelasnya, Honda CBR250RR (2024) menggunakan teknologi 'Throttle By Wire' dan turut mempunyai mod tunggangan (3 mod -Sport+, Sport, Comfort).
Ciri-ciri menarik lain adalah seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, sistem lampu LED penuh, panel meter digital dan kapasitu tangki bahan api 14.5 liter.
Sebagai info, Honda CBR250RR tiba di pasaran Malaysia pada penghujung tahun 2020 dengan harga RM 25,999 (asas).
Seperti biasa, setiap pembelian akan menerima jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).