HONDA CBR250RR-R 4 Silinder 'Muncul' Di Seberang, Asli Atau Hasil Edit?

TULAR

7/28/20231 min read

SENSASI yang dicetuskan jentera 250 cc empat silinder sebaris terbukti masih belum reda dan kekal mampu bikin kecoh apabila tular di Indonesia imej Honda CBR250RR-R yang seakan 'rasmi' dari Honda.

Apa yang menarik, ia bukan sekadar imej render biasa, malah sebuah brosur atau banner yang nampak seperti dihasilkan oleh Honda sendiri.

Dan jika diperhatikan, model yang dipaparkan itu memang berbeza daripada model Honda CBR250RR sedia ada di pasaran ketika ini.

Yang mengujakan adalah gambar itu menunjukkan motosikal berkenaan memiliki 4 saluran silinder ekzos dan dipadankan dengan pelbagai komponen menarik dan moden.

Dari sudut penampilan pula, ia nampak cukup mirip Honda CBR1000RR-R Fireblade namun dalam skala lebih kecil.

Selain itu, turut dipaparkan penggunaan panel meter TFT berwarna yang cukup moden seperti motosikal berkuasa tingi.

Tetapi sedikit mengecewakan, menurut laporan media seberang dan hasil penelitian mereka, ia bukanlah asli namuin 'hasil' edit daripada pereka grafik yang memang handal.

Dikongsikan di media sosial Instagram SyaLdilah Rizkia (IG @esserahh), pemilik akaun berkenaan sememangnya terkenal dan kerap berkongsikan model-model render grafik motosikal dan kereta.

Justeru, bukan sesuatu yang pelik hasil 'tangannya' nampak cukup sempurna dan memang mirip brosur iklan sebuah model baharu.

Tidak diketahui sama ada Honda berminat untuk menghasilkan Honda CBR250RR-R 4 silinder atau tidak tetapi mengikut populariti Honda CBR250RR, tindakan itu nampak tak salah.