HONDA CBR600RR (2024) Tayang Di Suzuka, Dah Patuh Euro5, Angka Kuasa Direndahkan?
8/8/20231 min read


HONDA sempena perlumbaan Suzuka 8 Hours 2023, baru-baru ini mengambil peluang menayangkan versi kemas kini model 'Sportbike' handalannya, Honda CBR600RR (2024).
Sedikit mengecewakan, sekalipun ditayangkan dan dapat 'dibelek' pelumba-pelumba HRC (Honda Racing Corporation), tiada spesifikasi rasmi diumumkan oleh syarikat berkenaan.
Tetapi sebagai model versi terbaharu, ia dijangka akan mematuhi piawaian emisi terkini di Jepun, sekaligus dikatakan memenuhi piawaian emisi Euro5 bagi pasaran Eropah.
Ia berdasarkan perubahan yang dapat dilihat dari sudut mekanikal iaitu sistem ekzos. Dan berikutan ia memenuhi piawaian emisi terkini, ia juga dijangka akan turut memberi kesan kepada angka kuasa yang dihasilkan, dan berkemungkinan berkurangan.
Selain perubahan dari sudut sistem ekzos, apa yang dapat dilihat di dalam imej yang ditayangkan adalah perubahan dari sudut skema warna dan grafik baharu.
Selain warna 'tradisi' Honda Racing Corporation (HRC), Honda CBR600RR (2024) turut tampil dengan skema warna 'Matt black'.
Mengulas ringkas trenkuasa, Honda CBR600RR (2024) dijana enjin bersesaran 599 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Sebagai info, pihak Boon Siew Honda (BSH) melancarkan Honda CBR600RR pada tahun 2021 lalu bersama harga jualan asas RM 98,888.








