HONDA CBR650R, CB650R (2025) E-Clutch Rasmi Di Pasaran Malaysia, Harga Mula RM 48k!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/17/20252 min read

BOON Siew Honda (BSH) hari ini melancarkan dua penawaran baharunya yang boleh dianggap mengujakan, Honda CB650R dan Honda CBR650R (2025) E-Clutch' untuk pasaran Malaysia.

Selepas membuat pengumuman mengenai teknologi Honda E-Clutch pada dua tahun lalu, Honda akhirnya mengumumkan yang dua model Honda CB650R dan Honda CBR650R sebagai model pertama dipadankan dengannya.

Turut dipertontonkan ketika acara Malaysia Autoshow tahun lalu, ia kini dilancarkan bersama tawaran harga menarik, RM 47,999 (asas) untuk Honda CB650R (2025) dan RM 49,999 (asas) untuk Honda CBR650R (2025).

Pilihan warna yang ditawarkan adalah seperti berikut:

Honda CB650R (2025) E-Clutch:

  • Matte Gunpowder Black Metallic

  • Matte Laurel Green Green Metallic

  • Candy Chromosphere Red

Honda CBR650R (2025) E-Clutch:

  • Grand Prix Red

  • Matte Gunpowder Black Metallic

Seperti biasa, angka yang diumumkan adalah disyorkan oleh BSH, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Mengulas mengenai teknologi Honda E-Clutch, dalam bahasa mudahnya ia adalah sistem yang dihasilkan untuk memberikan penunggang pilihan sama ada untuk menggunakan tuil klac atau tidak.

Sekalipun nampak kompleks, tetapi sistem yang dikawal menerusi teknologi kawalan elektronik ini sebenarnya agak mudah difahami dengan tetapan dibuat menerusi panel meter dengan suis di bahagian kiri.

Dan untuk menukar kedua-dua mod (E-Clutch atau klac manual) juga tidak sukar.

Menurut BSH, sistem Honda E-Clutch dihasilkan untuk mengurangkan keletihan dan memudahkan dengan penunggang terutama untuk tunggangan dalam bandar.

Perbezaannya yang ketara dengan sistem automatik penuh seperti skuter konvensional adalah penukaran gear masih perlu dilakukan menggunakan kaki namun tiada klac.

Dari sudut penampilan, kedua-dua model ini turut mendapat beberapa penambahbaikkan rekaan seperti lampu dengan dan belakang baharu, fairing dan panel meter yang dikatakan lebih segar.

Sebagai motosikal 'Naked', Honda CB650R (2025) E-Clutch tampil dengan rekaan Neo Sports Cafe manakala Honda CBR650R (2025) E-Clutch lebih tajam mengikuti tema 'Sportbike'.

Selain itu, perubahan besar turut berlaku di bahagian panel meter yang kini menggunakan TFT berwarna 5 inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi RoadSync.

Di bahagian trenkuasa, enjin yang digunakan akekal bersesaran 648 cc, 4 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan kuasa dihamburkan adalah 92 Hp pada 12,000 rpm dan tork 63 Nm pada 9,500 rpm.

Info lain adalah seperti berikut:

  • Tangki bahan api 15.4 liter

  • Sistem lampu LED penuh

  • Port pengecas USB-C

  • Sistem Kawalan Cengkaman HSTC (Honda Selectable Torque Control)

Suspensi dijana fork jenis terbalik (USD) 41 mm Showa (SFF-BP) di bahagian depan dengan penyerap hentak tunggal belakang dengan ciri pelarasan pre-load (belakang).

Sistem brek pula menggunakan cakera berkembar bersaiz 310 mm dengan kaliper 4 Piston (depan) dan brek cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 1 Piston (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Jaminan pengeluar yang diberikan seperti biasa iaitu sama ada dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).