HONDA CRF1150L Africa Twin Adventure Sports (2027), Rekaan Baharu, Lagi Berkuasa, Canggih!

Seperti namanya, varian tertinggi Honda CRF1150L Africa Twin Adventure Sports (2027) turut dilengkapi sistem radar (depan/belakang) yang membolehkan fungsi Kawalan Jelajah Adaptif dengan ciri Henti & Jalan, Bantuan Tunggangan Berkumpulan, Bantuan Jarak serta Amaran Pelanggaran Titik Buta aktif

TERKINI

11/1/20261 min read

HONDA menaik taraf model motosikal jejalah ikoniknya dengan melancarkan Honda CRF1150L Africa Twin Adventure Sports (2027) yang tampil dengan peningkatan ketara merangkumi rekaan, kapasiti enjin, casis baharu serta pengenalan teknologi radar pintar.

Paling mencuri tumpuan pastinya varian perdana Honda Africa Twin Adventure Sports Honda Sensing Ride.

Seperti namanya, varian tertinggi ini dilengkapi sistem radar (depan/belakang) yang membolehkan fungsi Kawalan Jelajah Adaptif dengan ciri Henti & Jalan, Bantuan Tunggangan Berkumpulan, Bantuan Jarak serta Amaran Pelanggaran Titik Buta.

Dan ia dikhususkan bersama sistem Transmisi Klac Berkembar (DCT).

Ulas sudut prestasi, Honda CRF1150L Africa Twin Adventure Sports (2027) dipadankan dengan enjin bersesaran 1,131 cc (berbanding 1,084 cc terdahulu) menerusi penggunaan 'bore' bersaiz 94 mm berserta semakan semula komponen dalaman.

Hasilnya, ia mampu menghamburkan 119 Hp pada 7,500 rpm dan tork 119 Nm, mewakili peningkatan kuasa sebanyak 16.5 peratus berbanding model terdahulu.

Turut menarik adalah sistem suspensi elektronik Showa EERA yang menjadi ciri standard, menyepadukan Kawalan Skyhook Honda untuk pelarasan secara automatik.

Sistem elektronik kawalan penunggang turut dipertingkat dengan 6 mod tunggangan (termasuk Offroad+), manakala kokpit kekal canggih dengan skrin sesentuh TFT tujuh inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Dari segi kosmetik, ia menerima rekaan badan baharu berserta lampu hadapan LED berkembar yang menampilkan lampu selekoh, selain visor angin yang boleh dilaras secara elektrik.