HONDA Dapat Romano Albesiano, Fabiano Sterlacchini Sertai Aprilia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/4/20241 min read

APRILIA dan Honda membuat kejutan dengan menamakan Pengarah Teknikal baharu pasukan masing-masing di MotoGP di Motegi, Jepun, hari ini.

Tanpa sebarang tanda, Aprilia memgumumkan yang Fabiano Sterlacchini akan mengambil alih tugas Romano Albesiano sebagai Pengarah Teknikal dengan individu yang digantikan itu bertindak menyertai Honda.

Dan pengumuman yang dibuat Honda yang melantik Albesiano sebagai Pengarah Teknikalnya hanya berselang beberapa minit selepas pengumuman Aprilia.

Kehadiran Albesiano yang sudah 11 tahun bersama Aprilia dan 20 tahun bersama Kumpulan Piaggio menyaksikan Honda Racing Corporation (HRC) menyingkirkan Ken Kawauchi.

Kawauchi sebelum ini menyertai HRC daripada Suzuki pada penghujung 2022.

Begitupun difahamkan, pengesahan Albesiano menyertai Honda yang memaksa Aprilia untuk membuat pengumuman berkenaan.

Situasi berkenaan turut menyaksikan Aprilia bukan saja mendapat pelumba yang baharu musim depan - Jorge Martin dan Marco Bezzecchi - namun bos yang baharu.

Sebelum menyertai Honda, Albesiano pernah bekerja bersama AMG Mercedes, MV Agusta, Piaggio dan Aprilia sebelum dilantik sebagai Pengarah Teknikal Aprilia Racing pada 2014.

Pernah mengemudi keseluruhan jabatan perlumbaan Aprilia pada satu ketika, Albesiano mula fokus kepada bahagian teknikal selepas kehadiran Massimo Rivola sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 2019.

Disebalik kekangan bajet, Aprilia RS-GP - jentera MotoGP pertama menekankan ciri aerodinamik bangkit daripada pasukan di grid belakang kepada pasukan yang mampu menjuarai perlumbaan sejak musim 2022.

Pada musim ini, Aprilia menjadi satu-satunya pasukan selain Ducati berjaya memenangi perlumbaan - satu di MotoGP dan tiga di Perlumbaan Sprint.

Begitupun pasukan baharu Albesiano, Honda berada di kedudukan tercorot carta pengeluar MotoGP ketika ini dan hanya mempunyai satu keputusan dalam kedudukan 10 terbaik setakat ini.

Tidak diketahui sama ada Albesiano akan kekal di Eropah dengan menubuhkan pusat baharu Honda di benua berkenaan seperti Yamaha atau akan berpindah ke ibu pejabat HRC di Jepun.

Sementara itu, Sterlacchini adalah 'muka lama' di Ducati dan menghabiskan 17 tahun bersama syarikat itu sehingga bergelar Penyelaras Teknikal MotoGP Ducati sebelum menyertai KTM pada Jun 2021.

Bersama KTM, Sterlacchini mengepalai aktiviti perlumbaan di litar daripada sudut teknikal.

Dan difahamkan, jarak dari Itali dan Australi menjadi antara faktor Sterlacchini dan KTM gagal untuk mencapai perjanjian baharu awal tahun ini dan menyertai pasukan berpangkalan di Itali, Aprilia nampak sesuatu yang cukup logik.