HONDA Dash 125 (2024) Dapat Warna Baharu, Harga Kini RM 6.6k!
TERKINI
6/27/20241 min read


BOON Siew Honda mengemaskini penawaran kapcainya, Honda Dash 125 (2024) yang kini ditawarkan dalam tiga pilihan warna dan corak grafik baharu bersama harga asas RM 6,599.
Pilihan warna baharu yang ditawarkan bersama corak grafik yang tampil lebih ringkas adalah Silver, Red dan Blue yang kesemuanya digandingan dengan warna Hitam.
Dan seperti biasa, harga yang diumumkan oleh Boon Siew Honda serta mengalami peningkatan berbanding lebih RM 150 berbanding versi sebelum ini adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Tiada perubahan lain selain daripada pilihan warna membabitkan rekaan mahupun trenkuasa diumumkan oleh Boon Siew Honda.
Justeru, kapcai ini kekal dijana enjin bersesaran 124.9 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 2 Injap, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api yang digandingkan bersama transmisi 4 kelajuan.
Kuasa yang dihamburkan adalah 9.85 Hp @ 8,000 rpm dan tork 9.54 Nm.
Informasi lain adalah seperti penggunaan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang), brek cakera (depan/belakang, lampu depan LED, tinggi pelana 767 mm, kapasiti tangki bahan api 4 liter dan berat 105 kg.
Seperti biasa, pihak Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).






