HONDA EM1 e: Menang Anugerah Red Dot 2024

TERKINI

4/23/20241 min read

SKUTER elektrik, Honda EM1 e: merangkul anugerah berprestij Red Dot 2024 bagi kategori Rekaan Produk - kemenangan untuk tahun kelima berturut-turut buat pengeluar Jepun itu.

Selain Honda EM1 e:, Honda turut memenangi anugerah bagi tiga lagi modelnya iaitu Motocompacto (e-scooter lipat kompak), BF350 (Motor Boat) dan Miimo (pemotong rumput robot).

Ketua Pegawai Operasi Pusat Reka Bentuk Honda R&D Co., Ltd., Toshinobu Minami berkata pihaknya berbangga dengan kemenangan yang diraih Honda pada anugerah berkenaan.

Menurutnya, reka bentuk Honda EM1 e:, Motocompacto, BF350 dan Miimo menunjukkan semangat Honda untuk menghasilkan kenderaan yang menggerakkan orang di seluruh dunia.

"Kami percaya bahawa semangat tersebut telah difahami dan dikongsi oleh ramai orang dan membuatkan Honda memenangi Anugerah Red Dot," katanya.

Mengulas ringkas spesifikasi Honda EM1 e:, ia dipadankan dengan motor elektrik yang mampu mengeluarkan kuasa setinggi 2.3 Hp pada 540 rpm dan memiliki tork setinggi 90 Nm.

Menjana kuasa skuter ini adalah pek bateri Honda Mobile Power Pack e: berkapasiti 26.1 Ah (Lithium-ion) boleh tukar menerusi perkhidmatan Honda Power Pack Exchanger e:.

Sebagai skuter yang sinonim dengan kemodenan, Honda EM1 e: dipadankan dengan panel meter digital penuh, sistem lampu LED penuh dan sistem brek menggunakan cakera (depan) dan dram (belakang) dengan sistem Combi (CBS).

Setakat ini, tiada perkembangan membabitkan skuter elektrik berkenaan di Malaysia namun ia sudah pun 'mendarat' di pasaran Indonesia.

Sebagai info, Anugerah Red Dot diperkenalkan pada tahun 1955 dan menjadi salah satu anugerah membabitkan reka bentuk antara paling berprestij di dunia.

Untuk anugerah Reka Bentuk Produk, sebanyak 51 kategori dipertandingkan berdasarkan produk industri dan ia dinilai berdasarkan 9 kriteria utama termasuk inovasi, fungsi, ketahanan dan ergonomik.