HONDA EM1 e: Tiba Di Indonesia, Skuter Elektrik, Harga Belum Rasmi!
8/13/20231 min read
SEPERTI dijangka, syarikat pengedar motosikal jenama Honda di Indonesia, PT Astra Honda Motor (AHM) melancarkan skuter elektrik pertama jenama itu di negara berkenaan, Honda EM1 e:.
Dan pelancaran itu dijalankan di acara Gaikindo Indonesia International Auto Show atau GIIAS 2023 yang sedang berlangsung, ketika ini. Sekalipun dipertonton dan memberikan perincian mengenai spesfikasi, tetapi sedikit mengecewakan, pihak AHM masih berteka-teki mengenai angka harga skuter berkenaan.
Begitupun, menurut laporan media di seberang, ia bakal dijual pada harga sekitar Rp 40 juta (RM 11,967) ke Rp 45 juta (RM 13,463).
Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu:
Innovative White
Matte Black
Smart Red
Disasarkan untuk menggunaan di bandar-bandar besar dan utama di Indonesia, motor elektrik yang dibekalkan kepada Honda EM1 e: hanya menghamburkan kuasa 1.7 kW (2.27 Hp) dengan tork sebesar 90 Nm.
Dengan kelajuan tertinggi 45 km/j, ia hanya mempunyai jarak tempuh perjalanan yang cukup singkat iaitu 41.1 km. Menjana motor elektrik berkenaan adalah pek bateri Honda Mobile Power Pack e: berkuasa 50V boleh alih.
Untuk pengecasan, menggunakan Honda Power Pack Charger e:, tempoh masa yang diperlukan adalah 2 jam 40 minit (25 peratus-75 peratus) dan 6 jam untuk 0 peratus-100 peratus. Untuk lebih memudahkan, turut tersedia adalah sistem Honda Power Pack Exchanger e: yang lebih praktikal.
Begitupun, AHM hanya melancarkan dan menayangkan skuter berkenaan di GIIAS kerana untuk membelinya, jualannya hanya akan dibukan pada Disember tahun ini.
Dan melihat kepada situasi di Indonesia, tidak mustahil skuter berkenaan turut akan ditawarkan di pasaran Malaysia. Sama-sama kita nantikan.